Langkah Kajang Rancangan Sulit Rafizi Halang Azmin, Kata Pemimpin PKR

PETALING JAYA: Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya sekali lagi menyerang Rafizi Ramli dengan menuduh ahli Parlimen Pandan itu menjadi punca perpecahan Pakatan Rakyat (PR) dengan rancangan “Langkah Kajang” pada 2014 bagi menggantikan menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tanpa menyebut nama Rafizi, Latheefa berkata rancangan itu adalah usaha untuk menghalang Datuk Seri Azmin Ali daripada dilantik menteri besar.

“Dia dan orang kuatnya yang merancang kesemua itu secara rahsia, tidak satu pun diluluskan di mesyuarat parti. Malah Biro Politik juga tidak tahu langsung,” kata Latheefa dalam kenyataan terbaharu dalam siri kritikannya terhadap Rafizi.

Beberapa pemimpin PKR kebelakangan ini bertikam lidah dalam soal rundingan bersama PAS untuk menentukan kedudukan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Azmin menyokong rundingan itu, bagaimanapun ditentang oleh seteru kuatnya Rafizi dan anggota Biro Politik lain yang tidak setuju PKR bertindak di luar kerangka kerjasama Pakatan Harapan yang menggabungkan parti itu dengan DAP, Amanah dan PPBM.

Langkah Kajang berlaku apabila PKR memaksa pilihan raya kecil di DUN Kajang pada Mac 2014, dalam usaha menggantikan Khalid sebagai MB atas tindak tanduk yang dilihat tidak sehaluan dengan dasar parti.

Rancangan asal adalah untuk meletakkan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti MB, dengan mencalonkan beliau di DUN Kajang.

Rancangan itu bagaimanapun terbantut selepas sabitan Anwar di Mahkamah Rayuan dalam kes liwat membabitkan bekas pembantu Mohd Saiful Bukhari Azlan. Isteri Anwar, yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kemudian dilantik menjadi calon untuk diangkat menggantikan Khalid.

Bagaimanapun, nama Wan Azizah ditolak istana Selangor walaupun beliau menang pada PRK Kajang. Sebaliknya, Azmin dengan sokongan PAS akhirnya dilantik menjadi MB.

Latheefa berkata tanpa Langkah Kajang, pelbagai kemelut yang dihadapi sekarang boleh dielakkan.

“Mengapa Langkah Kajang berlaku? Kerana dia mahu memastikan Azmin Ali yang sudah pun merupakan Adun ketika itu tidak dilantik sebagai MB.

“Kita boleh elakkan segala kemelut dahsyat yang menyusul disebabkannya, dan Anwar mungkin masih bersama kami sekarang kalau bukan kerana Langkah Kajang,” katanya.

Menurutnya, Rafizi dan “orang suruhannya” memberitahu Anwar yang rancangan Langkah Kajang itu turut dipersetujui DAP dan PAS.

Latheefa turut berkata “orang suruhan” tersebut mengunjungi Kelantan dan mendakwa mendapat persetujuan mursyidul am PAS ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Hakikatnya, Nik Aziz mahu dokumen laporan lengkap dengan segala butiran menjelaskan mengapa Tan Sri Khalid Ibrahim perlu digantikan.

“Si pelawak dan orang suruhan ini pula memulakan jelajah dengan dokumen laporan ini. Untuk itu, orang suruhannya itu disaman dan terpaksa memohon maaf di mahkamah.”

Walaupun tidak menyebut nama, orang yang dimaksudkan itu dipercayai Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Pada Ogos 2015, Saifuddin mewakili PKR memohon maaf kepada Khalid kerana mengeluarkan dokumen yang memfitnah beliau, sebagai penyelesaian saman difailkan bekas MB itu terhadap bekas partinya.

Dokumen itu antara lain mengaitkan Khalid dengan beberapa isu termasuk penyelesaian hutang Bank Islam, penstrukturan semula air, dan penjualan tanah kepada EcoWorld.-FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.