Kami Tak Bermusuh

KUALA LUMPUR: Semakin menyinar melalui single solo berjudul Jampi, Hael Husaini sedia diterjah soalan apakah duo, Azhael yang dianggotainya dengan teman baik, Azhar, sudah berkubur?

Menjelaskan perkara itu, Hael, 29, berkata, peminat mungkin masih kurang jelas bahawa dia dan Azhar sudah membawa haluan berbeza sejak Februari lalu.

“Mungkin ada sesetengah pihak kurang maklum mengenai kami yang sudah membawa haluan sendiri. Biarpun masing-masing sudah ada karier, tidak timbul istilah bermasam muka.

“Malah, kawan-kawan saya dan Azhar juga daripada kelompok sama,” katanya kepada BH Online.

Buktinya, Hael bergegas dari Johor untuk memberi sokongan kepada Azhar yang menyertai konsert pertama program realiti, AF Megastar di Shah Alam, Ahad lalu.

“Saya datang untuk memberi sokongan kepada Azhar menyanyikan lagu Sampai Mati. Alhamdulillah. Saya selamat sampai sebelum Azhar membuat persembahan. Saya bangga dengan dirinya beraksi pada malam itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hael bersyukur kerjaya nyanyiannya lancar. Dia juga gembira dapat melaksanakan tugas sebagai bapa angkat kepada bayi yang diberi nama Nur Helena.

“Alhamdulillah. Semuanya baik-baik. Semakin ramai artis meminta lagu daripada saya. Di rumah pula, saya seronok mengasuh Helena dengan bantuan keluarga,” katanya.-BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.