Jamal: DAP Halang HARAPAN Sertai Demo Anjuran Umno

Pemimpin Gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Yunos mendakwa DAP cuba menghalang rakan-rakan parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) daripada menyertai demonstrasi bantahan anjuran Pemuda Umno di luar Kedutaan Myanmar esok.

Jamal berkata beliau dihubungi oleh rakan-rakan dari PKR dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang mengadu perkara tersebut.

“Saya dihubungi oleh rakan PKR, BERSATU dan kawan dari sebelah sana nak bersama sekali tapi dihalang oleh DAP.

“Saya tak tahu kenapa HARAPAN tak benarkan PKR, BERSATU, untuk bersama kami menunjukkan solidariti, tunjuk dukacita terhadap penindasan kekerasan Myanmar terhadap Rohingya.

“Hari ini kami bersama komponen yang lain dan kami alu-alukan rakan-rakan parti sebelah sana tak kiralah dari DAP.

“Cuma rakan-rakan sebelah sana dihubungi kata mereka nak datang sebab ini bukan isu politik tapi mereka dilarang oleh DAP,” kata Jamal kepada pemberita selepas menyertai sidang akhbar berkaitan pembunuhan etnik Rohingya di PWTC.

Sidang media itu turut disertai oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta barisan kepimpinan exco yang lain.

Melalui sidang media tergempar di PWTC hari ini, Khairy turut menyatakan sokongan terhadap gesaan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang mahu penyelesaian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan isu tersebut.

Pemuda Umno dan beberapa NGO lain dijangka akan menyerahkan memorandum kepada Pejabat PBB pagi esok berkaitan pembunuhan etnik Rohingya.

Manakala pada sebelah petangnya pula, mereka akan membuat perhimpunan aman di luar kedutaan Myanmar.

Cari publisiti

Jamal turut mengajak semua pihak termasuk pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah serta Datuk Ambiga Sreenevasan untuk sama-sama menyertai perhimpunan tersebut.

Malah ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu sempat berseloroh bahawa beliau sanggup menjemput Ambiga sekiranya kereta bekas pengerusi BERSIH itu rosak.

“Ya (jemput Maria). Dulu yang mana beratus ribu, baju kuning BERSIH, inilah yang patutnya kita berdemo (isu Rohingya). Kalau nak pakai baju kuning pun tak apa. Saya akan pakai baju merah, kita lupakan fahaman politik untuk capai matlamat.

“Saya bersedia kalau Ambiga keretanya rosak di tengah jalan, saya pergi ambil dia,” katanya sambil tersenyum.

Sementara itu tokoh veteran DAP Lim Kit Siang ketika dihubungi Malaysiakini menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan Jamal hanya mahu meraih publisiti.

Lim berkata, beliau hanya mengetahui mengenai dakwaan Jamal itu selepas disoal pemberita dan berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung Rohingya sedikit masa lagi.
“Saya baru sahaja dengar yang kita dituduh halang orang, kenapa pula kita buat begitu, ia hanya publisiti.

“Dia (Jamal) baru umum tadi (nak berhimpun), mana kita tahu, Jamal cuma nak publisiti. Kamu (wartawan) baru dengar pengumuman dari Jamal dan saya pula tahu perkara ini dari kamu.

“Ia cuma cari publisiti dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng akan keluarkan kenyataan berhubung isu Rohingya, dan sudah tentu kita akan sokong apa juga tindakan susulan terhadap Rohingya,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.