Imigresen Tumpas Sindiket Pelacuran Di Pusat Urut

Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pelacuran yang menjalankan kegiatan di sebuah pusat urut di kawasan Taman Maluri, Cheras dengan penahanan 24 warga asing dalam Op Gegar kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Datuk Shahril Ismail berkata operasi itu dilakukan selepas risikan awal mendapati pusat urut itu menawarkan perkhidmatan seks dan menggunakan papan tanda sebagai pusat urut tradisional bagi mengaburi pandangan pihak penguat kuasa.

Mereka yang ditahan melibatkan 12 wanita warga Vietnam, 10 wanita warga Indonesia, seorang lelaki warga Myanmar yang disyaki bekerja di premis itu dan seorang lelaki warga Indonesia yang menjadi pelanggan selain seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penyelia, katanya.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan susulan.

“Sebanyak empat saman kepada saksi juga dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, Shahril berkata seramai 10,615 orang dan 255 majikan ditahan dalam Op Mega E-Kad Jabatan Imigresen yang dijalankan di seluruh negara bermula 1 Julai lepas sehingga semalam atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Daripada jumlah 10,615 orang itu, seramai 10,360 adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan warga Indonesia mencatatkan penahanan paling ramai iaitu 3,178 diikuti 2,585 (Bangladesh), 948 (Myanmar), 824 (Filipina), 574 (Thailand), Vietnam (471) dan bakinya dari negara-negara lain.
Selain itu katanya, 833 orang juga diberi notis untuk hadir memberi keterangan sepanjang tempoh itu.

E-Kad merupakan pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan yang sah untuk membolehkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen terus bekerja di sini.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.