Hafidz Roshdi Risau Isteri Sarat

KUALA LUMPUR: Dalam sibuk berlakon, Hafidz Roshdi mengaku risau memikirkan isterinya yang sarat mengandung.

Hafidz berkata, mengikut jangkaan doktor, isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri dijangka melahirkan bayi sulung mereka antara 20 hingga 26 September ini.

“Sejujurnya, saya rasa takut, maklumlah pertama kali hendak jadi bapa.

“Saya sudah beritahu produksi drama Red Velvet yang sedang menjalani penggambaran sekarang mengenai kemungkinan isteri saya bersalin pada bila-bila masa.

“Jadi saya perlu berjaga-jaga,” katanya kepada BH Online.

Hafidz berkata, dia dan isteri sudah membuat persiapan menyambut si comel.

“Persiapan daripada aspek pakaian, keperluan pantang, penjagaan dan pelbagai kelengkapan lain sudah disediakan.

“Setakat ini, kami diberitahu bakal mendapat anak perempuan. Kami sudah ada nama untuk si puteri nanti,” katanya.

Demi keselesaan hidup berkeluarga, Hafidz juga sudah membeli kediaman baharu untuk isteri dan anaknya.

“Kami sedang dalam proses memindahkan barang ke rumah baharu. Lokasi rumah masih di Shah Alam. Saya tidak mahu berjauhan dengan keluarga yang menetap di kawasan sama.

“Ketika ini, ibu saya menjaga isteri. Apabila Nurul bersalin kelak, ibu mentua akan datang dari Perlis untuk menjaganya sepanjang tempoh berpantang,” katanya.

Hafidz bakal muncul dalam drama terbitan Zeel Production, Kelip Kelip Kota London yang akan disiarkan portal Tonton, bulan depan. Ini diikuti siaran di slot Zehra TV3, akhir tahun ini.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.