Didenda RM32,000 Gagal Kemuka 11 Borang Cukai Pendapatan

Seorang pengarah syarikat kejuruteraan elektrik dikenakan denda RM32,400 oleh Mahkamah Majistret di Klang hari ini kerana gagal mengemukakan 11 Borang Nyata Cukai Pendapatan dalam Borang BE mengikut tempoh yang ditetapkan.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi mengenakan denda itu terhadap Amran Che Othman, 38, Pengarah Syarikat Trigger Power Sdn Bhd, selepas dia mengaku bersalah terhadap kesemua 11 pertuduhan itu.

Amran membayar denda tersebut.

Pengarah itu didakwa gagal mengemukakan 11 Borang Nyata Cukai Pendapatan dalam Borang BE bagi tahun taksiran 2005 sehingga 2015 mengikut tempoh yang ditetapkan Seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kesemua borang itu membabitkan keseluruhan pendapatan bercukai sebanyak RM601,063 dan cukai yang perlu dibayar sebanyak RM46,767.33.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis syarikat itu di Shah Alam dan bagi kesemua kesalahan berkenaan, Amran didakwa mengikut Seksyen 112 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada LHDN Irfan Muashik Jantan memohon mahkamah mengenakan denda yang tinggi kepada Amran bagi memberi mesej jelas kepada masyarakat terutama pembayar cukai lain yang masih culas untuk membayar cukai.

“Orang Kena Saman (OKS) (Amran) seolah-olah pandang enteng perihal percukaian. Walaupun borang-borang cukai telah diserahkan pada Mac lepas tetapi ia dibuat selepas siasatan dilakukan.

“Kami percaya jika tiada siasatan, OKS tidak akan menyerahkan borang cukai dan sehingga kini, cukai tersebut masih belum dibayar,” katanya yang turut dibantu Pegawai Pendakwa Mohd Shafuddin Hasan.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.