DAP ‘Top Dog’ Sebenar Pakatan Pembangkang

KUALA LUMPUR – DAP didakwa berperanan sebagai parti dominan atau ‘top dog’ dalam pakatan pembangkang dengan Ketua Ahli Parlimen parti itu, Lim Kit Siang, bertindak sebagai pemimpin de facto dalam mencatur politik bersandarkan strategi Ali Baba.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata apabila menyedari pengaruh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pakatan pembangkang semakin merosot, DAP memerlukan pemimpin Melayu lain untuk memimpin bagi memenangi hati pengundi Melayu.

“DAP dan Kit Siang amat menyedari bahawa pengundi Melayu tidak akan menyokong mereka.

“Mereka memilih untuk membentuk pakatan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memang tidak akan bertanding pada PRU-14, selain parti diterajuinya hanya ada satu kerusi Parlimen berbanding percaya dengan kepimpinan rakan sekutu sedia ada seperti (Presiden PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamad Sabu daripada Parti Amanah Negara (PAN),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tengku Sariffuddin berkata, tindakan DAP membenarkan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memimpin pakatan itu adalah satu penghinaan kepada PKR dan PAN.

“Tujuan utama DAP untuk memenangi pengundi Melayu. Bagi Kit Siang secara peribadinya, pakatan dengan Dr Mahathir adalah semata-mata untuk menghapuskan imejnya sebagai anti Melayu dan anti Islam.

“Tetapi apa yang gagal difahami Kit Siang adalah orang Melayu dapat merasai mereka sedang dipergunakan oleh DAP. Bukan lagi rahsia bahawa mengundi pakatan pembangkang adalah mengundi DAP, bukan mengundi PKR, PAN atau PPBM.

“DAP adalah kuasa sebenar di sebalik pembangkang. Bagaimanapun, parti itu kini dalam keadaan panik apabila menyedari bahawa pengundi Melayu sedar apa yang sedang berlaku selain sedar Kit Siang adalah dalang sebenar,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.