Adik Siti Nurhaliza Tampil Imej Tak Bertudung

KUALA LUMPUR – Tidak mahu terus mengelirukan orang ramai, penyanyi Siti Saerah menjelaskan bahawa dia kini tampil dengan imej tidak bertudung.

“Sebenarnya sudah lama saya membuat keputusan ini. Saya bukanlah manusia yang sempurna dan banyak kekurangannya.

“Namun saya tidak mahu lagi menipu diri sendiri dan ingin mengelakkan kekeliruan orang ramai dengan imej saya sekarang. Jadi saya perlu berterus terang,” ujarnya.

Dalam pada itu, selepas empat tahun menjanda, Saerah kini membuka hatinya untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya.

Menurut Saerah, perkenalannya dengan Mohd. Sharidan, 30, bermula pada 2009. Namun mereka berjumpa kembali kira-kira setahun yang lalu.

“Kami berdua sudah lama berkenalan sejak 2009 yang lalu. Selepas itu kami terputus hubungan dan baru tahun lepas kami berjumpa dan kembali berkawan.

“Kami dalam proses mengenal hati budi masing-masing. Saya berharap hubungan ini berpanjangan hingga ke jenjang pelamin,” jelasnya ketika ditemui dalam majlis sidang akhbar Karnival KLXtravaganza di Taman Danau Kota, di sini hari ini.

Tambah adik kepada penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza ini, hubungan mereka diketahui oleh anak-anak dan keluarganya.

“Anak-anak dan keluarga saya sudah mengenalinya. Mereka mengetahui hubungan kami dan tidak mempunyai masalah mengenai situasi ini,” ujarnya.

Saerah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ummi Umairah, 6, Ahmad Daiyan, 5, dan Ahmad Aisy, 3, menerusi perkahwinannya sebelum ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.