Roboh replika: Mampukah keharmonian ditingkat?

SEKIRANYA kerajaan Kedah bercadang merobohkan replika burung helang di Pulau Langkawi, perkara utama yang haruskan difikirkan ialah sama ada ia mampu meningkatkan keharmonian masyarakat ataupun sebaliknya.

 

Demikian ditegaskan oleh tokoh korporat terkenal, Tan Sri Lee Kim Yew yang menyediakan peruntukan mendirikan replika burung helang di pulau peranginan itu, kira-kira 20 tahun yang lalu.

 

“Biarpun saya yang mengeluarkan wang untuk mendirikan replika burung helang itu, tetapi sekiranya ia dirobohkan dan mampu meningkatkan keharmonian antara masyarakat, saya tidak ada apa-apa bantahan,” kata Kim Yew ketika dihubungi China Press.

 

Kim Yew yang juga Pengasas Country Heights Holdings Berhad (Country Heights) memberitahu, walaupun beliau tidak beragama Islam tetapi tetap menghormati Islam.

 

“Semua agama di dunia ini mempunyai persamaan, iaitu mengutamakan kasih sayang, keharmonian dan moral. Tidak ada satu agama pun yang mengajar manusia melakukan perpecahan dan kebencian.

 

“Apa yang meragukan saya ialah apakah cadangan merobohkan replika burung helang itu mengikut ajaran Islam ataupun cuma kehendak Muslim tertentu sahaja?,” soal Kim Yew.

 

Beliau menjelaskan, projek pembinaan replika burung helang itu dibuat setelah menerima pelawaan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kos perbelanjaan sebanyak RM1.3 juta.

 

“Tujuan asal mendirikan replika burung helang itu adalah untuk membantu meningkatkan industri pelancongan dan ketika itu, tidak timbul pun sebarang suara bantahan mengenai projek tersebut,” katanya.

 

Isu replika burung helang di Pulau Langkawi ini timbul berikutan kenyataan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim beberapa hari lalu.

 

Ketika memberitahu Sinar Harian, kelmarin, Zamri berasa kesal apabila larangan pembinaan replika berbentuk haiwan diputar belitkan oleh media hingga mengalih isu sebenar diajukan kepada Jabatan Mufti Perak.

 

Katanya, larangan pembinaan replika haiwan secara sempurna itu adalah menjawab pertanyaan sebuah agensi kerajaan tempatan di Perak dan tidak merujuk kepada replika burung helang di Pulau Langkawi mahupun Tugu Negara.

 

“Isunya adalah isu setempat di Perak dan tidak berkaitan dengan replika burung helang di Pulau Langkawi mahupun Tugu Negara tetapi isu ini digunakan media-media yang memutarbelitkan dan mengalihkan isu sebenar,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.