Vape On! Merokok Sudah Ketinggalan

KUALA LUMPUR – “Merokok sudah ketinggalan”. Itulah slogan yang menjadi pegangan pembancuh perisa rokok elektronik atau vape, Leon Eli Franciscus yang menyaksikan sebahagian besar ahli keluarganya terbabit dalam industri vape ini.

 

Melangkah ke pasaran dengan hanya satu perisa, pemilik Velvet Vapes berkata, dia bukan menyertai perniagaan itu bagi mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya berhasrat membantu perokok untuk menghentikan tabiat buruk mereka.

 

“Saya seorang perokok tegar tetapi berhenti dan menggunakan vape selepas kelahiran anak pertama, setahun empat bulan lalu.

 

“Saya merasakan perubahan sejak menghisap vape. Deria rasa semakin baik dan fizikal saya juga berasa hebat. Saya dapat melakukan perkara yang tidak dapat dilakukan ketika merokok dahulu.

 

“Saya mahu membantu orang lain berhenti menghisap rokok selain saya mahu melihat rakan serta keluarga hidup lebih lama apabila mereka tidak lagi merokok,” katanya.

 

Bapa berusia 36 tahun yang mempunyai dua orang anak itu memberitahu The Rakyat Post, perniagaan yang diuruskan olehnya bersama keluarga, kini beroperasi di rumah, dengan perhatian sebaiknya dapat diberikan kepada perisa Pear Berry – bancuhan rumah – bagi membolehkannya dihasilkan dengan baik.

 

“Perisa kami mempunyai tiga lapisan. Lapisan pertama yang anda akan rasai adalah perisa pear.

 

“Apabila asap berada di dalam mulut, anda dapat merasakan rasa krim yang mewah dan apabila anda menyedutnya pula, anda dapat merasai rasa strawberi.

 

“Rasa krim yang tebal dapat memberikan kenikmatan sehingga anda merasakan tidak perlu menghisap rokok,” katanya.

 

Franciscus berkata, sekalipun mempunyai perancangan untuk memperluaskan perniagaan namun, perkara utama adalah untuk memastikan perisa Pear Berry berada di tahap kualiti terbaik, sebelum melangkah ke tahap seterusnya.

 

Apabila ditanya samada satu perisa sudah mencukupi bagi menampung gaya hidupnya terutama apabila beliau dan isteri berhenti kerja untuk melabur sepenuhnya dalam perniagaan itu, Franciscus berkata perniagaan tersebut bukan untuk keuntungan semata-mata.

 

“Saya adalah pembancuh perisa sepenuh masa kini dan ini adalah perniagaan keluarga. Jadi ramai orang perlu dijaga dan banyak tanggungjawab perlu dilaksanakan.

 

“Tetapi kami mempunyai sebuah kereta, sebuah rumah, dan kami hidup secara sederhana. Kami bukan mengejar keuntungan. Kami mempunyai matlamat untuk dicapai.” – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.