Mungkir Janji Untuk Sesuatu Yang Lebih Baik, Kata Dr Mariah

SHAH ALA -: Bertemu perjuangan yang lebih baik berbanding PAS, itu adalah antara sebab Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud terpaksa melanggar perjanjian bai’ah yang pernah dilafazkan sebelum diangkat menjadi wakil rakyat parti Islam Semalaysia itu.

 

Sehubungan itu kata Siti Mariah, beliau nekad meninggalkan PAS dan kini berserah diri kepada Allah SWT, selain telah bertaubat dan membayar kafarah dengan cara menjamu fakir miskin.

 

“Ya kita mungkir janji, tetapi kita terpaksa beralih kepada sesuatu yang lebih baik. Hadis dalam kitab Sahih Muslim ada menyebut, barangsiapa bersumpah tetapi bertemu perkara lebih baik maka hendaklah dia melakukan hal itu dan membayar kafarah.

 

“Maknanya dalam Islam, ada jalan keluar apabila kita mungkir janji. Dalam bab dosa, itu antara kita dengan Allah SWT.. kita istighfar.. bertaubat. Allah sahaja yang tahu hati kita,” katanya.

 

Siti Mariah baru-baru ini mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam PAS selepas merasakan beliau tidak lagi serasi dengan perjuangan serta corak kepemimpinan parti itu.

 

Beliau juga merupakan antara 22 bekas pemimpin yang disahkan bukan lagi ahli parti itu sebaik sahaja dilaporkan berada dalam barisan kepemimpinan Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja) yang dibentuk oleh para pendukung Gerakan Harapan Baru (GHB).

 

Bagaimanapun, beliau enggan melepaskan jawatan Ahli Parlimen Kota Raja yang disandangnya sekali gus dikatakan melanggar bai’ah yang pernah dilafazkan ketika Pilihan Raya Umum 13.

 

Siti Mariah dalam pada itu menyelar PAS Kelantan kerana memasukkan ungkapan taklik talak tiga dalam lafaz bai’ah kerana mendakwa perkara itu tidak pernah dipersetujui di peringkat pusat.

 

“Dalam kes Dr. Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai) sekarang sudah jadi polemik, kita berasa sedih juga kerana tidak ada kesepakatan dari segi pendapat alim ulama.

 

“Sepatutnya kita buat satu perbincangan dan tengok apa pendapat ulama terbanyak, bukan ulama PAS sahaja. Majlis Fatwa patut bersidang dan ambil tindakan kerana ini mungkin bercanggah dengan amalan mazhab Imam Shafie,” katanya.

 

Kelmarin, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa semua pihak menghentikan polemik isu bai’ah dan biarkan pihak yang berautoriti, iaitu mahkamah syariah, menentukan hukum.

 

Katanya, perbicangan terbuka dengan masing-masing mengeluarkan pelbagai pandangan akal akan menimbulkan kecelaruan di kalangan masyarakat.

 

Beliau dalam pada itu berkata, pihak yang terlibat mesti merujuk kepada mahkamah syariah untuk memutuskan sesuatu isu yang melibatkan hukum syarak.

 

Tambahnya lagi, bai’ah melibatkan hukum syarak yang mempunyai implikasi yang besar, maka wajar bagi semua menyerahkan kepada pihak yang berautoriti dalam menentukan hukum bagi memutuskannya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.