“Terima Kasih, Semoga Allah SWT Balas Kebaikan Kalian”

“ALHAMDULILLAH, banyak sumbangan diterima dan lebih mengharukan apabila ada sanggup datang melawat untuk menyampaikan bantuan walaupun mereka tidak mengenali kami sekeluarga,” demikian luahan mangsa kebakaran, Nor Shahfaizal Mohd Noor.

Selain Nor Shahfaizal, 41, isterinya, Nik Ruzilawati Raja Manshor, 41, dan tiga anak turut menjadi mangsa selepas rumah didiami mereka di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves, Gombak musnah dalam kebakaran pada 31 Julai lalu.

Berkongsi perkembangan terkini, Nor Shahfaizal berkata, bukan hanya wang tunai, tetapi dia sekeluarga turut menerima sumbangan barangan keperluan seperti makanan dan pakaian ihsan orang ramai .

Katanya, keprihatinan masyarakat memberinya semangat untuk tabah menghadapi ujian bagi meneruskan kehidupan selepas ditimba musibah itu.

“Sejak insiden itu, ramai datang melawat, mereka yang kami tidak kenal pun ada dan boleh dikatakan, kehadiran mereka memang di luar jangkaan.

“Begitu juga dengan sumbangan diterima dan tiada apa saya boleh katakan melainkan ribuan terima kasih kepada semua yang membantu.

“Semoga Allah SWT dapat membalas kebaikan kalian dengan memberi ganjaran setimpal,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dalam pada itu, Nor Shahfaizal turut mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana menyiarkan kisah mengenai kesusahan dihadapinya sekeluarga selepas ditimpa musibah itu.

Beliau berkata, selain sumbangan, banyak sokongan moral diterima daripada warganet selepas tersiarnya kisah kami di portal berita Harian Metro.

“Sokongan itu memberi semangat untuk kami, namun buat masa ini, saya tiada hasrat berpindah ke tempat lain walaupun segelintir warganet mempersoalkannya.

“Salah satu sebabnya adalah kerana saya mempunyai ternakan yang perlu dijaga dan tidak sesuai diletakkan di kawasan perumahan lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL ), Norhaslinda Nordin berkata, Nik Ruzilawati adalah kakitangan DBKL dan atas rasa simpati, pihaknya mengambil inisiatif dengan menawarkan kuarters kediaman.

“Kuarters itu disediakan bagi membolehkan beliau bekerja dan menguruskan keluarga seperti biasa,” katanya.

Pada 2 Ogos lalu, portal berita Harian Metro menyiarkan kisah Nor Shahfaizal terpaksa bermalam di khemah berhampiran tapak rumahnya yang terbakar dipercayai angkara perbuatan khianat individu tidak dikenal pasti.

Kebakaran itu menyebabkan Nor Shahfaizal sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan kerugian lebih RM200,000. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.