ABIM, Bersih 2.0 dan GBM Gesa Dr Mahathir Serah Kuasa Sebelum 9 Mei 2021

PETALING JAYA – Pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 bersama 2 badan bukan kerajaan menggesa Dr Mahathir Mohamad menetapkan tarikh untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Bersih bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) memberi tempoh sehingga 9 Mei 2021 untuk pengerusi Pakatan Harapan itu menyerahkan kuasanya kepada Anwar.

“Ini selari dengan perjanjian pra-pilihan raya umum ke-14 antara gabungan parti komponen PH,” kata Pengerusi Bersih, Thomas Fann pada sidang media di ibu pejabatnya hari ini.

“Walaupun tidak ada rangka masa yang dinyatakan dalam perjanjian itu, Mahathir dalam pelbagai majlis sering mengatakan tempoh peralihan akan mengambil masa 2 ke 3 tahun selepas PH membentuk kerajaan.”

Sebelum PRU14, Mahathir bersama pimpinan PH membuat perjanjian untuk memberi laluan kepada Anwar menjadi perdana menteri ke-8 selepas 2 tahun gabungan itu mentadbir negara.

Pada 1 Ogos lalu, Mahathir dilaporkan berkata, beliau akan meletak jawatan dalam tempoh 2 atau 3 tahun, walaupun ada pihak mahu beliau meneruskan khidmatnya sehingga habis penggal 5 tahun.

Katanya, sesiapa saja boleh memberi pendapat supaya beliau mengekalkan jawatan itu, tetapi beliau akan berpegang kepada janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Hari ini, Thomas berkata, Mahathir perlu menetapkan tarikh untuk mengelakkan khabar angin mengenai konspirasi dalam peralihan kuasa dan kerjasama antara 4 parti komponen PH terjejas.

“Bagi memastikan kelancaran peralihan, Anwar perlu dilantik sebagai timbalan perdana menteri 6 bulan sebelum tarikh yang ditetapkan (untuk beliau menjadi perdana menteri).

“Dengan peralihan yang jelas, ianya akan memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan terpecahnya gabungan PH.”

Beliau berkata, gesaan itu yang terkandung dalam surat terbuka kepada Mahathir dan pimpinan PH akan diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Katanya, mereka turut mencadangkan beberapa langkah untuk mengembalikan kestabilan politik negara, iaitu mengehadkan tempoh perdana menteri kepada 2 penggal, pengurangan pemusatan kuasa perdana menteri, menyegerakan reformasi institusi dan mengubah sistem pilihan raya yang lebih inklusif.

Beliau menggesa kerajaan di bawah pimpinan Mahathir dan Majlis Presiden PH serta Warisan mengambil tindakan segera bagi mendapatkan keyakinan rakyat terhadap mereka.

“Mesej yang jelas mesti dihantar kepada semua yang kebajikan negara dan agenda reformasi mendahului kepentingan peribadi dan parti.”

Tiga NGO itu turut berjanji tidak akan menganjurkan perhimpunan Bersih 6 bagi menuntut Mahathir berundur.

“Tak penting bagi kami siapa yang menjadi perdana menteri selepas ini. Kami hanya mahu keadaan dan kestabilan agenda reformasi negara.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.