Polis Buru 5 Suspek Larikan Dadah Bernilai RM30 Juta Dari Kompleks Kastam

SEREMBAN — Polis sedang memburu lima lagi suspek bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan di Kompleks Pentadbiran Narkotik Kastam, di Kampung Jijan, Nilai, Ahad lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata antara suspek yang dipercayai dapat membantu siasatan ialah Tong Lip Seong dan Tung Seong Leong yang masing-masing berusia 30 tahun dan beralamat di Port Dickson.

“Dalam laporan yang dibuat pengawal keselamatan yang bertugas semasa hari kejadian, terdapat 10 lelaki bertopeng memecah masuk dan melarikan 60 kotak berisi inai, di mana ada di antara kotak-kotak itu yang mengandungi dadah, dari salah sebuah kontena yang disimpan di dalam kompleks berkenaan.

“Namun siasatan polis berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati bilangan suspek bertopeng yang terlibat dalam kes ini sekitar enam ke tujuh orang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Wan Rukman Wan Hassan.

Mengenai kejadian samun itu, Noor Azam berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.00 pagi, di mana suspek terlibat yang menggunakan tiga buah kenderaan dan memecah masuk kompleks itu sebelum mengikat tangan, kaki dan mulut kedua-dua pengawal yang bertugas.

“Suspek kemudiannya bertindak memecahkan sebuah daripada kontena di situ dan melarikan 60 kotak berisi inai dan kami percaya ada di antara kotak-kotak ini mengandungi dadah jenis ketamin dan heroin.

“Anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan lagi kerana daripada 60 kotak yang disamun, dipercayai ianya tidak semua mengandungi dadah,” katanya.

Noor Azam berkata siasatan mendapati kontena yang disita pihak kastam itu telah sampai dari Pakistan di Pelabuhan Klang pada 7 Mei lepas.

Pemeriksaan pihak kastam pada 7 Jun mendapati daripada 650 kotak berisi inai di dalam kontena itu, ada di antaranya mengandungi dadah dan terdapat dua kontena yang mempunyai kandungan yang serupa.

“Pada 18 Julai, kedua-dua kontena berkenaan dibawa ke Stor Narkotik iaitu di tempat kejadian untuk siasatan lanjut oleh pihak kastam,” katanya.

Susulan laporan yang dibuat pada Ahad lepas, polis telah menahan lima suspek berusia lingkungan 24-61 tahun, iaitu dua pengawal keselamatan yang bertugas semasa hari kejadian, dua anggota kastam dan satu orang awam.

“Rentetan penangkapan orang awam berkenaan, polis merampas sebahagian kotak-kotak inai yang terbakar, sepeket plastik lutsinar mengandungi kristal dipercayai dadah ketamin seberat 48.32 gram.

“Barang lain yang dirampas ialah dua buah kereta, satu alat timbang, tujuh telefon bimbit, satu beg, dan wang tunai RM58,973,” katanya.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.