PAS Harap Dapat Sokongan UMNO dan BN Di PRK Seri Setia
SHAH ALAM — PAS Selangor berharap ahli Umno dan Barisan Nasional mengundi calon PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia.
Pesuruhjaya negeri Sallehen Mukhyi berkata persefahaman antara PAS dan Umno dalam PRK Sungai Kandis perlu diteruskan “demi Islam”.
“Atas sebab itu, PAS meminta ahli Umno dan BN memberi undi kepada calon PAS di Seri Setia,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Namun, beliau berkata PAS dan Umno bukan membentuk gabungan rasmi, apatah lagi mengadakan tahaluf siyasi.
“Bentuk kerjasama ini mungkin perkara baharu bagi kedua-dua ahli parti ini, namun ia perlu diteruskan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) belum menetapkan tarikh PRK tersebut. PAS juga belum menetapkan calon mereka.
Kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya Shaharuddin Baharuddin, exco pendidikan negeri akibat barah usus.
Pada 3 Ogos lalu, timbalan presiden Umno memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon dalam PRK Seri Setia.
Datuk Seri Mohamad Hassan menyifatkannya sebagai titik mula persefahaman kedua-dua parti selepas pilihan raya umum Mei lalu. – MalayMail