Dulu Tuduh BN Jual Negara, Kini PH Sokong Projek Forest City dan Melaka Gateway Diteruskan – Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan kerajaan menyokong beberapa projek dimulakan Barisan Nasional (BN), yang sebelum ini didakwa sebagai cubaan menjual kedaulatan negara kepada warga asing.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia berikutan kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini yang memberi lampu hijau kepada projek Forest City di Johor dan Melaka Gateway, Melaka.

“Saya masih ingat bagaimana (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad melawat Forest City sambil menuding jari ke papan tanda iklan hartanah hak milik kekal, anaknya (Datuk Seri) Mukhriz pula tuduh saya sebagai satu-satunya Perdana Menteri yang jual tanah hak milik kekal kepada warga asing.

“Tetapi pada 2 Ogos lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menjawab di Dewan Rakyat bahawa kerajaan PH tiada halangan dan akan terus membenarkan penjualan tanah milik kekal di kawasan Forest City kepada warga asing.

“Begitu juga dengan projek Melaka Gateway, di mana Tun Mahathir kerap menyerang saya dengan melabel projek ini sebagai bukti saya menjual kedaulatan negara kepada pihak asing.

“Dia juga mendakwa kita tidak perlukan projek ini kerana Malaysia sudah miliki banyak pelabuhan dan infrastruktur.

“Kini, saya pelik apabila Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dipetik baru-baru ini sebagai berkata, projek pelabuhan Melaka Gateway dan Kuala Linggi (yang juga pelabur China) penting untuk pembangunan dan bakal membawa negeri itu kembali ke zaman kegemilangan kesultanan Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, malam ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menyatakan kehairanan mengapa kerajaan secara tiba-tiba menganggap projek terbabit sebagai penting walaupun tiada sebarang perubahan dalam skop projek atau pemegang saham.

“Apa-apa pun, tohmahan dan fitnah sudah dilakukan. Saya rela dan maafkan mereka yang membuat tuduhan melulu sebelum ini.

“Saya optimis projek ini bakal memberi pembangunan ekonomi dan menjana pekerjaan. Oleh itu, saya doakan projek berkenaan akan dimajukan dengan lancar dan matlamat tercapai,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.