‘Optimis PM Puas Hati’

Kuala Lumpur: Perkembangan mengenai persediaan Malaysia selaku tuan rumah temasya serantau Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017) sentiasa dipantau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau sentiasa memberikan perkembangan terkini mengenai persiapan negara kepada Perdana Menteri yang berharap Malaysia muncul juara keseluruhan serta menjadi penganjur terbaik.

“Perdana Menteri sendiri baru saja melawat Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk melihat sendiri kemudahan dan sebagainya,” kata Khairy ketika ditemui pada majlis perhimpunan terakhir Sukarelawan KL2017 di Bukit Jalil, semalam.

“Saya percaya dan yakin setakat ini, beliau berpuas hati dengan segala persiapan yang sudah kita lakukan.

“Cabaran yang diberikan kepada kita untuk menjadi menjadi penganjur terbaik dan juara keseluruhan adalah cabaran yang besar namun saya dan rakan dalam kontinjen negara menerima cabaran itu dan Insya-Allah kita akan menjayakannya.”

Semalam, Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengambil bahagian dalam Larian Obor KL2017 yang bermula dari Persiaran KLCC ke Menara NAZA.

Larian Obor diadakan sempena KL2017 dan Sukan Para Asean Ke-9, yang menjelajah seluruh negara mulai 14 Mei hingga 12 Ogos ini dan akan berakhir di ibu negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.