Hilang Lencana Pengenalan, Jemaah Tersesat Antara Aduan Diterima TH

MAKKAH – Laporan kehilangan lencana pengenalan diri dan bagasi serta jemaah tersasar untuk pulang ke maktab penginapan adalah tiga aduan tertinggi yang direkodkan di Pusat Perkhidmatan Pelanggan Tabung Haji (TH) di Tanah Suci Makkah.

Pengurus Perkhidmatan Pelanggan Makkah 1438 Hijrah, Zor Mohd Poat berkata, di pusat khidmat berkenaan, jemaah boleh mendapatkan pelbagai maklumat serta menyampaikan aduan mereka.

Beliau berkata ,sehingga 5 Ogos lepas, pihaknya berjaya menyelesaikan 143 kes kehilangan lencana pengenalan diri dan telah membuat tindakan segera menggantikan lencana itu kerana ia penting dalam urusan jemaah haji.

“Lencana ini penting untuk pelbagai tujuan antaranya dalam urusan pengeluaran wang dan sebagai dokumen pengenalan diri di Tanah Suci,” katanya kepada pemberita di Pusat Perkhidmatan Pelanggan TH di Hotel Abraj Al-Janadriyah di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata 90 kes kehilangan bagasi direkodkan di pusat khidmat itu, manakala bilangan jemaah tersasar daripada kumpulan mereka untuk pulang ke maktab penginapan masing-masing melibatkan 60 kes.

“Berkaitan kehilangan beg ini, Tabung Haji boleh menggantikan dengan wang selepas 48 jam beg berkenaan masih tidak ditemukan. Bagaimanapun, jika ditemukan, bagasi akan diberikan semula kepada jemaah,” katanya bahawa TH juga akan menggantikan beg sandang yang hilang.

Bagi jemaah yang tersasar, Zor berkata Unit Peronda TH akan memberikan khidmat terbaik untuk menunjukkan arah pulang ke maktab penginapan masing-masing.

Beliau berkata. pusat berkenaan beroperasi 24 jam untuk memberikan perkhidmatan kepada jemaah haji.

“Fungsi kita adalah menguruskan maklum balas dan pelbagai aduan jemaah haji, menguruskan talian pusat bantuan Tanah Suci serta menyediakan pasukan peronda di lapan stesen strategik di Masjidil Haram,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan jemaah haji supaya sentiasa mengikut arahan TH bermula di tanah air, dalam soal penjagaan barangan peribadi masing-masing.

“Saya percaya, jika arahan itu diikuti barangan seperti lencana pengenalan diri tidak akan hilang.

“Saya juga menasihatkan kepada jemaah haji yang masih di tanah air eloklah membalut bagasi dengan kain atau sarung beg serta ditulis nama dan maklumat penting peribadi. Ada kes, beg rosak dan koyak setiba di Makkah,” katanya.

Sementara itu, jemaah yang ditemui pemberita, Mohamed Ismail Harun, 44, dari Seremban memuji langkah segera yang dilakukan petugas TH.

“Misalnya, saya hendak ke klinik untuk mendapatkan rawatan? saya tanya rakan jemaah tetapi jawapan diberikan berbeza. Jadi saya terus ke pusat khidmat ini dan mereka meminta saya ke lokasi yang betul.

“Begitu juga dalam soal pemakaian selipar sewaktu melakukan sa’i. Saya bertanyakan soalan sama ada boleh atau tidak. Alhamdulilah saya mendapat jawapannya,” kata beliau.

Seorang lagi jemaah, Rahillah Hussin, 63, dari Batu Pahat, pula tersasar daripada Maktab Penginapan 87 di Hotel Rehab Al-Janadriyah.

“Saya terus ke pusat khidmat ini, dan Alhamdulilah petugas di sini membantu dan mereka menghantar saya balik ke maktab yang betul,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.