Video: JASA Akan Terbitkan Buku Jawapan Isu 1MDB

Seremban – Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) akan menerbitkan sebuah buku yang mengandungi jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dalam masa terdekat.

 

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata buku berkenaan akan diedarkan ke seluruh negara setelah siap dicetak.

 

 

“Kita telah kumpulkan soalan-soalan berdasarkan apa yang dibangkitkan oleh (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad, Sarawak Report dan kita kumpul juga beberapa isu yang sering dimainkan oleh portal seperti Malaysia Insider dan Malaysiakini.

 

“Soalan-soalan itu kita sediakan jawapannya berdasarkan jawapan yang sudah diberikan oleh perdana menteri dan jawapan yang disiarkan dalam laman web 1MDB,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Aidilfitri JASA di sini.

 

Mohd Puad berkata draf buku itu telah diserahkan kepada Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MBD Arul Kanda Kandasamy untuk memperkukuhkan lagi isi kandungan buku tersebut sebelum dicetak.

 

“Saya rasa dalam seminggu ni kita boleh edarkan sebab ada yang cakap 1MDB ni tak berjawab, sebenarnya perdana menteri sudah 48 kali menjawab isu-isu 1MDB ini.

 

“Tetapi isu yang berkaitan dengan penyelewengan sudah tentulah perdana menteri tak boleh jawab sebab tu dia cakap dia serahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara,” katanya.

 

Beliau berkata setakat ini JASA sudah mengedarkan buku yang bertajuk ’22 Soalan Lazim yang Dijawab Oleh Perdana Menteri’ kepada orang awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.