Tuah Watak Komedi Untuk Awie

Kuala Lumpur – Sejak sedekad lalu, selepas membintangi filem Baik Punya Cilok (2005) arahan Afdlin Shauki, genre dan watak komedi dilihat sudah semakin serasi dan sinonim dengan vokalis kumpulan Wings, Awie.

 

Sehinggakan watak lelaki gagah dan serius yang sebelum ini banyak dimainkan oleh Awie dalam filem-filem terawalnya sebagai pelakon semakin perlahan-lahan hilang dari pandangan mata.

 

Kemuncaknya apabila Awie membintangi dua filem arahan Mamat Khalid, Zombi Kampung Pisang (2007) dan Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) yang terus meletakkan dirinya sebagai salah seorang pelakon komedi.

 

Tahun lalu, dia muncul dengan sebuah lagi filem komedi arahan Kabir Bhatia, Dollah Superstar dan keberkesanan lakonannya itu telah membuahkan hasil apabila dia menjadi salah seorang calon untuk Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-27 (FFM 27) yang akan berlangsung pada 5 September ini.

 

Mengulas tentang perkara tersebut, Awie memberitahu cabaran untuk membawakan watak komedi sangat besar dan bukanlah satu perkara yang mudah seperti mana yang mungkin dilihat pada mata kasar peminat.

 

“Watak komedi juga sama seperti watak lain. Ia memerlukan penghayatan namun, ia tidak boleh dibuat berlebih-lebihan kerana bimbang ia dilihat tidak semulajadi dan nampa terlalu dibuat-buat.

 

“Ia masih berpaksikan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengarah dan sebagai pelakon, saya sendiri perlu mewarnakan sendiri karakter dengan panduan yang telah ditetapkan.

 

“Justeru, saya menganggap watak komedi juga membawa tuah kepada saya kerana peminat dan penonton dapat melihat sisi berbeza saya sebagai seorang pelakon.

 

“Barangkali ia juga membuat orang berasa selesa dengan saya,” jelas Awie berseloroh sewaktu ditemui usai sidang media pengumuman calon akhir FFM 27 yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Kelang, Selangor, Selasa lalu.

 

Untuk kategori itu, Awie berhadapan dengan saingan sengit daripada empat calon hebat lain iaitu Bront Palarae bagi filem Terbaik Dari Langit, Lee Sai Peng (The Journey), Que Haidar (Ophilia) dan Wan Hanafi Su (Lelaki Harapan Dunia).

 

Sebelum ini, Awie pernah dicalonkan dalam kategori yang sama untuk filem Hantu Kak Limah Balik Rumah pada FFM 24 (2011) namun, dia tewas kepada Shahiezy Sam yang memenanginya bagi filem Kongsi.

 

Malah, seingat Awie juga, lakonannya dalam filem Bara arahan DatukYusof Haslam juga pernah menerima pencalonan untuk Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM 14 (1999) tetapi rezeki tidak berpihak kepadanya kerana ia dimenangi oleh Khalid Salleh menerusi filem Jogho.

 

Ketika ditanya tentang peluangnya untuk memenangi trofi pertamanya untuk kategori itu, dengan pantas, Awie berkata: “Persaingan tahun ini cukup sengit dan calon-calon lain memang hebat. Untuk dicalonkan dengan mereka juga saya sudah anggap satu kemenangan.”

 

Untuk rekod, lakonan Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman dalam filem Merah arahan Datuk M. Nasir juga pernah dianugerahkan dengan Anugerah Khas Juri untuk penampilan karismatik dalam filem pada FFM 13 (1997).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.