Video: Ramesh Rao Cabar Editor Sarawak Report Serah Diri

Kuala Lumpur – Penyumbang utama Sarawak Report, Bruno Manser Foundation (BMF) didesak berhenti mencampuri politik Malaysia apabila terus membiayai operasi portal berita itu yang menggunakan dokumen palsu untuk memburuk-burukkan pemimpin negara.

 

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao mendakwa matlamat asal penubuhan NGO itu kini sudah “lari dari landasan” sebenar apabila menaja operasi syarikat media itu berbanding menjaga alam sekitar.

 

“BMF ditubuhkan untuk memelihara alam sekitar dan mengurangkan rasuah dalam industri pembalakan.

 

“Sekarang ini kalau kita tengok Sarawak Report kata, dia ini dibiayai oleh BMF, jadi NGO ini sudah keluar dari landasan, dia sepatutnya menjaga alam sekitar, bukan politik Malaysia,” katanya kepada pemberita di pekarangan kedutaan Switzerland, di sini, hari ini.

 

 

Singapura sasaran baru Sarawak Report?

 

Sementara itu, Ramesh turut mencabar Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown menyerah diri kepada kerajaan Malaysia untuk membuktikan kebenarannya.

 

“Kalau betul nak tegak keadilan, saya cabar Clare datang ke Malaysia, tunjukkan dirimu bersih dan apa kamu terbitkan adalah benar. Jangan berselindung di UK sebagai pondan,” katanya.

 

Beliau juga berkata mendapat maklumat bahawa Clare akan menjadikan Singapura kepada sasaran seterusnya.

 

“Ini saya diberitahu oleh orang-orang Sarawak Report sendiri.

 

“Seterusnya (serangan Clare) ke China, mereka akan buat sesuatu sebab di Hong Kong hari itu ada satu perhimpunan, saya diberitahu Clare ada terlibat,” dakwa Ramesh.

 

Terdahulu, Ramesh menyerahkan memorandum kepada kedutaan Switzerland untuk mendesak kerajaan negara itu berhenti menyalurkan peruntukan dana kepada BMF.

 

Memorandum itu diterima oleh Timbalan Ketua Misi Kedutaan Switzerland, Rolf Ott yang berjanji akan menjalankan siasatan ke atas salah laku BMF.

 

Ramesh juga berkata, pegawai kedutaan itu memaklumkan bahawa kedutaan Switzerland sebelum ini tidak pernah menerima sebarang memorandum atau aduan daripada mana-mana pihak terhadap BMF.

 

Mengulas lanjut, Ramesh turut mencabar editor Sarawak Report, Clare Recastle-Brown untuk mendedahkan pihak lain yang menjana operasi portal itu yang didakwa menggunakan dokumen palsu untuk memburuk-burukkan Perdana Menteri berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Ramesh turut mendakwa Clare mengupah syarikat penyiasat persendirian di Malaysia untuk memantau pergerakan ahli politik di Malaysia termasuklah menteri-menteri dan orang kenamaan (VIP).

 

“Saya tak tahu kenapa dia nak pantau, mungkin dia nak tahu berapa duit dia orang ada, mungkin dia nak ugut mereka.

 

“Ada VIP menghubungi saya katakan orang Clare pantau mereka sehingga mereka nak keluar rumah pun takut,” dakwanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.