Pembangkang Dicabar Sokong Akta Sumbangan Dana Politik

PUTRAJAYA – Parti pembangkang dicabar membuat pendirian sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya diwujudkan akta atau peruntukan undang-undang khusus bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap mana-mana parti politik di negara ini yang menerima dana daripada pelbagai pihak.

 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya parti pembangkang benar-benar bersikap jujur dan telus, mereka tidak sepatutnya bimbang untuk mengisytiharkan sumber sumbangan politik yang diterima.

 

Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian, malah kerajaan pernah mencadangkan supaya cadangan tersebut dibuat, namun ditentang oleh parti pembangkang.

 

“Kerajaan memang bersetuju dari dahulu lagi, namun kerana tentangan daripada pembangkang, kita tidak teruskan usul ini, disebabkan sekarang timbul isu dana dan sumbangan untuk UMNO, jadi sudah tiba masa akta ini diwujudkan.

 

“Kalau pembangkang jujur, mereka juga patut dedahkan sumber mereka. Ketika pilihan raya umum (PRU) lalu parti DAP dan PKR berbelanja besar jadi kita pun hendak tahu daripada mana mereka mendapat dana tersebut,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di sini semalam.

 

Semalam, SPRM menggesa akta tersebut yang pernah dicadangkan oleh kerajaan pada tahun 2008 diwujudkan semula bagi membolehkan suruhanjaya tersebut mendedahkan butiran-butiran terperinci identiti penyumbang dana politik.

 

Cadangan tersebut ditimbulkan semula berikutan hasil siasatan SPRM yang mendapati wang berjumlah RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan hasil sumbangan dan bukan daripada wang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

 

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, kerajaan berharap akta tersebut dapat diwujudkan sebelum PRU yang akan datang dengan mewajibkan pengisytiharan derma termasuk jumlah dan sumber diperoleh.

 

Ditanya punca pembangkang enggan menerima akta tersebut, katanya, ini berikutan terdapat kemungkinan bahawa dana yang diperoleh oleh parti pembangkang diterima daripada pihak luar yang mempunyai agenda tertentu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.