Justo Dijangka Hadapi Tuduhan Peras Ugut

Bangkok – Bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo akan menghadapi tuduhan pemerasan dan terserah kepada pihak pendakwa untuk mendakwanya sekarang memandangkan pihak polis telah selesai menjalankan siasatan, menurut polis Thailand.

 

“Justo hanya menghadapi satu tuduhan – memeras ugut bekas majikannya. Kesalahan itu dilakukan di Thailand, dan tuduhan itu adalah lebih berat daripada ugutan,” Kol Kornchai Klayklueng, Timbalan Komander Bahagian Pembanterasan Jenayah memberitahu Bernama.

 

Kornchai berkata kes itu dikemukakan kepada pendakwa pagi tadi, ‘tetapi saya tidak tahu bila mereka akan memfailkan kes di mahkamah’.

 

Beliau berkata kes itu disiasat sepenuhnya oleh polis Thailand tanpa campur tangan daripada mana-mana negara asing.

 

Mengikut Kanun Keseksaan Thailand, kesalahan melakukan pemerasan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda 2,000 baht (RM222) hingga 20,000 baht (RM2,223).

 

Penalti bagi kesalahan menggugut ialah penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi 10,000 baht (RM1,111).

 

Justo ditangkap di pulau peranginan Koh Samui pada 22 Jun selepas PetroSaudi membuat aduan.

 

Justo mengaku bahawa dia cuba memeras bekas majikannya tetapi menafikan cuba mengubah dokumen digital yang diperolehnya dari syarikat dan kemudian memberikannya kepada dua pihak, seorang daripadanya ialah Tong Kooi Ong, pemilik The Edge Media Group.

 

Polis Malaysia juga mahu menyoal siasat Justo kerana beberapa dokumen dikaitkan mengenai urusan PetroSaudi dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tetapi setakat ini, polis Malaysia tidak dibenar akses kepada warga Switzerland itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.