Fairuz Mahu Pamer Prestasi Terbaik Dalam GP KL City

Kuala Lumpur – Pelumba GT negara, Fairuz Fauzy mahu menggunakan sepenuhnya peluang berlumba di gelanggang sendiri untuk mempamerkan prestasi terbaik pada perlumbaan sulung Grand Prix KL City, yang bermula di tengah-tengah ibu kota esok.

 

“Berlumba dalam saingan GT kali ini berbeza dengan perlumbaan lain yang pernah saya sertai sebelum ini. Ia bukan satu tekanan kepada saya.

 

“Bagaimanapun, bila berlumba di laman sendiri, sudah semestinya saya mahu melakukan yang terbaik,” katanya.

 

Pelumba berusia 32 tahun itu akan membawa cabaran negara dalam kelas Piala KL City GT bersama pasukan OD Racing dengan menggunakan jentera, Lamborghini Gallardo FLII.

 

“Ini adalah perlumbaan yang pertama kali berlangsung di litar jalan raya di sini. Bagi saya semua pelumba mempunyai peluang yang sama kerana tidak dapat mengagak kesulitan teknikal dalam litar ini.

 

“Permukaan trek jalan raya tidak sama dengan permukaan trek dalam sesebuah litar. Untuk itu, saya akan menggunakan sepenuhnya sesi ujian bebas untuk mendapatkan maklumat teknikal sebanyak mungkin,” kata bekas pelumba  ujian pasukan Formula 1, Lotus Racing.

 

Menurutnya setiap pasukan akan menggunakan tayar yang dikeluarkan oleh pengeluar yang berbeza dan ia akan memberi kesan secara teknikal dari segi cengkaman tayar dan akan memberi prestasi berbeza untuk setiap kereta.

 

Beliau turut mengharapkan perlumbaan sulung ini akan berlangsung dalam keadaan cuaca yang baik.

 

Sebelum ini, Fairuz pernah berlumba di litar jalan raya ketika bersaing dalam perlumbaan Formula 3 (F3) di Macau pada 2004 dan pada tahun berikutnya dalam saingan GP2 dan Siri Dunia di Monaco.

 

Fairuz kini berlumba dalam Siri GT Asia.

 

Menurut Fairuz, pasukan OD Racing hanya mengesahkan penyertaan di sini minggu lepas sebaik sahaja menamatkan saingan pusingan kelima dan keenam Siri GT Asia pada 18 dan 19 Julai lepas di litar Fuji Speedway, Jepun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.