Apa Dendam Guan Eng Terhadap Hadi?

SHAH ALAM – “Saya sebenarnya tidak faham apakah dendam Lim Guan Eng terhadap (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang”, kata Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

 

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang mahu Hadi memohon maaf kerana dikatakan terlalu menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 

“Dalam tempoh setahun ini (Julai 2014 -Julai 2015) rekod yang dikumpul menunjukkan Guan Eng bertindak menghentam Hadi Awang tidak kurang dari 20 kali dalam kenyataan dan ucapan beliau.”

 

“Semuanya bersumber dari maklumat yang salah, dan jauh dari maksud sebenar apa yang disebut oleh Hadi Awang”, katanya dalam laman web PAS.

 

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP itu dilaporkan berkata jika Hadi terus mempertahankan Najib, ia jelas menunjukkan PAS telah kehilangan kredibiliti dalam membanteras rasuah.

 

Guan Eng berkata Hadi kini pro- UMNO kerana banyak ‘menyokong’ Najib dalam isu berkaitan 1Malasyia Development Berhad (1MDB).

 

Presiden PAS itu pada 7 Julai lalu berkata sebarang tuduhan dan dakwaan salah laku yang dilemparkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu berasas dan memerlukan saksi.

 

Hadi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang sebelum ini yang menyifatkan laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa terdapat aliran wang 1MDB bernilai berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi Najib, sebagai tidak logik.

 

“Hanya satu sahaja kesimpulan saya pada saat ini. Samada Guan Eng mempunyai masalah kesihatan yang serius untuk memahami bahasa tulisan dan pertuturan yang mudah, atau pun beliau sememangnya bukan ahli politik yang faham bahasa politik” ujar Ahmad lagi. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.