Acer Aspire R 11, Peranti Pertama Dijana Windows 10

ACER Malaysia melancarkan model komputer riba kompak boleh ubah terbaharu, Acer Aspire R 11 dilengkapi dengan sistem operasi baharu, Windows 10, sekali gus menjadikannya peranti pertama yang mempunyai perisian itu di pasaran.

 

Pengarah Jualan dan Produk Acer Sales & Services Sdn Bhd, Chan Weng Hong, berkata Acer komited untuk menggabungkan inovasi terbaharu dalam rangkaian produk mereka yang luas demi memaksimumkan teknologi bagi pelanggan.

 

“Malah, model Aspire siri E akan ditawarkan tidak lama lagi di Malaysia bersama Windows 10,” katanya pada majlis pelancaran Inovasi Terbaharu Acer di Kuala Lumpur, hari ini.

 

Acer Aspire R 11 mempunyai reka bentuk paling kecil dalam kategori peranti boleh ubah Acer dengan hanya bersaiz kompak 11.6 inci.

 

Model itu mempunyai rekaan unik dengan engsel 360 darjah yang membolehkannya bertukar menjadi empat mod iaitu komputer riba, ‘tent’ (bentuk khemah), tablet dan paparan saja, manakala output saluran audio berubah secara automatik mengikut orientasi skrin.

 

Kerangka Acer Aspire R 11 juga menawarkan genggaman yang lebih kuat dan dilengkapi ‘Corning Gorilla Glass’ untuk tahan calar selain teknologi ‘Zero Air Gap’ pula memberi pengalaman tontonan yang lebih jelas.

 

Komputer riba itu turut mempunyai lapisan anti cap jari bagi memastikan permukaan skrin sentiasa bersih dan jelas apabila ia digunakan.

 

Acer Aspire R 11 juga didatangkan dengan beberapa ciri baharu seperti Acer TrueHarmony yang menawarkan kualiti audio lebih baik seperti ketika menonton filem, mendengar muzik dan bermain permainan video, manakala Acer BluelightShield pula melindungi mata pengguna daripada bahaya cahaya biru dan mengurangkan keletihan mata.

 

Ia adalah komputer riba yang diperakui oleh Skype yang memenuhi standard audio dan visual diperlukan, selain kuasa bateri mampu bertahan hingga lapan jam.

 

Model itu dijual pada harga RM1,499 seunit dan sudah boleh didapati di semua penjual sah Acer di seluruh negara dan orang ramai berpeluang mengambil bahagian dalam peraduan ‘Why Not Win a Mazda 3?’ yang sedang berlangsung serta pelbagai hadiah menarik apabila membeli produk terpilih yang menggunakan Intel. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.