390 Masjid, Surau Terjejas Bencana Di Kelantan Siap Dibaik Pulih

BACHOK – Sebanyak 390 masjid dan surau yang terjejas  akibat bencana termasuk banjir dan ribut di negeri ini telah dibaik pulih melibatkan perbelanjaan sebanyak RM6.9 juta.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan untuk membaik pulih masjid dan surau itu melibatkan dana daripada Tabung Pemulihan Masjid Pasca Banjir Kelantan yang berjaya mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak berjumlah lebih RM10 juta.

 

“Kerja baik pulih itu antaranya melibatkan penukaran karpet dan peralatan pembesar suara yang rosak akibat banjir. Kita juga membantu masjid dan surau yang rosak akibat ribut terutama melibatkan kerosakan kubah dan kebocoran atap.

 

“Tindakan segera untuk membaik pulih masjid dan surau yang terjejas ini bertujuan memberi keselesaan kepada umat Islam beribadah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bagi menggantikan kubah Masjid Mukim Kubang Golok yang rosak akibat ribut, di sini hari ini.

 

Asyraf Wajdi yang juga pengerusi tabung berkenaan berkata, baki dana daripada tabung tersebut akan digunakan untuk membantu masjid dan surau lain yang memerlukan bantuan.

 

Katanya, peranan masjid perlu diperluaskan terutamanya sebagai institusi untuk menyatupadukan masyarakat.

 

Beliau juga menggalakkan umat Islam melaksanakan solat hajat bagi menghindarkan negara daripada ditimpa pelbagai musibah seperti banjir.  – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.