PKR Pilih Saya Jadi MB Selangor, Bukan Azmin

Ampang – Calon PKR untuk jawatan menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengenepikan cadangan Mohamed Azmin Ali juga perlu dipertimbangkan untuk jawatan tertinggi negeri itu.

“Parti memilih saya, terima kasih,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita pada program makan malam bersama penduduk Ampang di Selangor.

Beliau mengulas laporan beberapa pemimpin PKR Selangor yang mengatakan Azmin, timbalan presiden PKR dan ketua PKR Selangor, juga mempunyai keupayaan memerintah negeri terkaya di negara ini.

Setiausaha PKR Selangor Amirudin Shari dan Ketua Penerangan Selangor Shuhaimi Shafei menegaskan, Azmin patut dinamakan sebagai calon bersama Dr Wan Azizah, memandangkan pengalaman luas beliau dalam parti.

PKR nampaknya berpecah kepada dua puak, mereka yang ingin presiden parti menggantikan Khalid sebagai menteri besar, dan penyokong Azmin.

Satu sidang media bagi mengumumkan sokongan terhadap Dr Wan Azizah oleh cawangan Selangor berakhir dalam keadaan huru-hara semalam apabila kenyataan akhbar kedua diedarkan kepada media sebaliknya menyokong Azmin.

Namun, kenyataan Dr Wan Azizah hari ini disahkan oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, yang memberitahu pemberita kepimpinan tertinggi PKR memilih beliau seorang sahaja secara rasmi.

Terdahulu pada petang tadi, Dr Wan Azizah memberitahu kira-kira 1,000 penduduk di padang Kelab Belia Kampung Baru Ampang sebagai menteri besar, beliau akan memberi tumpuan kepada keadilan, kebersihan Selangor dan membawa negeri ke hadapan.

“Kami mahu mempercepatkan peningkatan. Apabila saya memasuki Kajang, saya berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, sampah, saya dapati kadar jenayah yang tinggi. Saya pergi ke hospital dan ia penuh dengan kes-kes denggi.

“Ia bukan kerana mahu menjadi menteri besar tetapi jika kita ingin menyelamatkan keadaan, jika kita ingin membawa Selangor ke hadapan dan Malaysia amnya, kita perlu perubahan ini,” kata presiden PKR yang mendapat sorakan dan tepukan daripada orang ramai.

“Kami mahu sekurang-kurangnya masalah sampah diselesaikan. Kami mahu Selangor menjadi bersih, terbaik dan ke hadapan. “

Beliau menambah, beliau menerima jawatan itu demi suaminya, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim, yang merupakan calon asal bagi jawatan menteri besar itu.

“Jangan lupa mahkamah digunakan untuk mensabitkan Anwar. Saya hanya di sini untuk memastikan keadilan untuk semua. Hari ini, Anwar dilayan begini, esok, kita tidak tahu siapa lagi (akan menjadi mangsa). “

Dr Wan Azizah merujuk kepada kes liwat Anwar disabitkan pada Mac oleh Mahkamah Rayuan, yang menyebabkan beliau hilang kelayakan bertanding di kerusi DUN Kajang dan seterusnya menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

“Apabila Langkah Kajang berlaku, ia adalah satu cara untuk menjadikan Anwar menteri besar Selangor. Tetapi apabila Barisan Nasional menggunakan mahkamah untuk menghentikannya, ini adalah ketidakadilan dan saya mengambil tanggungjawab menentang ketidakadilan dan mengambil alih kerusi Kajang,” kata beliau.

Dr Wan Azizah juga mengingatkan hadirin Cina mereka semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, menggesa mengetepikan perbezaan bagi membantu meningkatkan ekonomi.

“Jika saya lukakan tangan saya, ia mengeluarkan darah merah yang sama seperti anda. Kita semua rakyat Malaysia, semua manusia. Oleh itu, kita tidak boleh merampas Alkitab, menceroboh ke dalam kuil-kuil, kita tidak boleh. Kita mesti berhenti memberitahu satu sama lain meninggalkan Malaysia,” katanya dalam sorakan kuat daripada penonton.

Tetapi Dr Wan Azizah enggan berkata apa-apa mengenai calon yang mahu digantikan, walaupun tuntutan parti Khalid mesti dikeluarkan kerana kekurangan integriti.

“Saya tidak mahu berkata sebarang perkara negatif tentang sesiapa. Mari kita bergerak ke hadapan, menjadi lebih baik, dan membawa negara kita ke tahap lebih baik. “

Khalid hari ini berkata beliau akan memberi respons kepada surat yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin PKR malam ini dan akan mendedahkan jawapannya esok.

Bagaimanapun, beliau enggan mengatakan sama ada akan muncul untuk pendengaran tatatertib.

Lembaga Disiplin PKR menetapkan pada Jumaat bagi mendengar penjelasan Khalid kerana mengingkari arahan parti untuk meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor.

Pendengaran itu dijadual berlangsung di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Menurut surat itu, Khalid perlu memberi penjelasan terhadap lima isu yang berkaitan pentadbiran dan tingkah laku peribadi beliau.

Antaranya ialah; penyusunan semula industri air Selangor, peningkatan 300% bayaran lesen perniagaan, kenaikan gaji MB, cadangan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan penyelesaian di luar mahkamah pinjaman Bank Islam bernilai RM70 juta.

Khalid berhadapan tekanan daripada partinya bermula bulan lepas untuk meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Cadangan parti agar beliau meletakkan jawatan kini dalam proses untuk diputuskan oleh sekutu PKR dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.