Perlekeh Institusi Diraja: Kes Suhaila Tanda Amaran Bahawa Undang-Undang Tidak Boleh Dipermainkan

- Advertisement -

Pagi ini seorang suri rumah, Suhaila Abd Halim, dihadapkan ke mahkamah berdepan pertuduhan kerana menghantar komen jelik terhadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Pendakwaan ini mengingatkan rakyat bahawa kebebasan menulis dan mengkritik harus bersempadan bukannya terbuka luas seperti langit terbentang.

Ia adalah amaran tegas bahawa institusi diraja, sebagai simbol kedaulatan negara, bukan bahan permainan dalam ruang maya yang semakin liar.

Suhaila, 39 tahun, ibu kepada enam anak, didakwa menghantar komen berbaur penghinaan menerusi akaun Facebook miliknya pada 4 Januari lalu.

Hantaran tersebut dikesan pada keesokan harinya di Hospital Sungai Buloh. Dia menggunakan perkhidmatan aplikasi akaun Facebooknya ‘Suhaila Halim’ dan hantaran dilihat pada 5 Januari sekitar jam 8.30 pagi di Hospital Sungai Buloh, Jalan Hospital dalam daerah Petaling.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari bagi kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Beliau mengaku tidak bersalah, namun kes ini tetap membawa dimensi penting dalam memahami batas kebebasan bersuara di negara ini.

Malaysia mengiktiraf kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Namun prinsip itu bukan mutlak. Ia tertakluk kepada sekatan-sekatan yang dibenarkan undang-undang bagi menjaga ketenteraman awam, keselamatan negara, dan maruah institusi penting negara.

Dalam era media sosial, sempadan antara hak bersuara dan penghinaan kian kabur. Warganet sering keliru antara menyuarakan pendapat dan menyebarkan kebencian. Kes Suhaila menyorot cabaran ini — bagaimana satu komen peribadi boleh membawa implikasi undang-undang yang besar.

Mesej kepada masyarakat maya

Langkah pantas pihak pendakwa, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menyerlahkan kesungguhan negara mempertahankan martabat institusi diraja dalam ruang digital.

Pendakwaan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bukan sesuatu yang luar biasa, namun apabila ia membabitkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, ia membawa makna simbolik yang lebih besar.

Kerajaan tanpa mengira siapa yang memerintah tidak boleh dilihat berkompromi dalam perkara ini. Institusi diraja adalah teras kepada sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kestabilan negara.

Kes ini wajar menjadi cermin buat rakyat Malaysia, terutama pengguna media sosial. Hak bersuara bukan tiket untuk menjatuhkan maruah sesiapa, lebih-lebih lagi raja pemerintah. Walau apa pun pandangan politik, nilai peradaban dan penghormatan terhadap institusi mesti dipelihara.

Kita tidak perlu menyokong institusi secara membuta tuli, namun cara kita mengkritik mesti berlandaskan adab, fakta dan lunas undang-undang. Jika institusi diraja sendiri tidak dipedulikan, maka tidak mustahil esok lusa penghinaan serupa akan menyasar institusi kehakiman, tentera, atau agama.

Kes Suhaila adalah satu titik tolak. Ia bukan tentang seorang wanita biasa didakwa kerana berkomentar ia tentang bagaimana kita, sebagai masyarakat berperlembagaan, harus menilai semula tanggungjawab kita terhadap ruang awam.

Ruang digital bukan padang bebas. Ia adalah lanjutan kepada masyarakat beretika.

Jika kita mahu mempertahankan demokrasi, kita mesti bersedia menjaga disiplin dalam bersuara bukan dengan menghina, tetapi dengan beradab dan berilmu.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat