KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor menggesa polis membuka kertas siasatan segera bagi menyiasat sama ada wujud unsur salah guna kuasa susulan tergendalanya proses lantikan Ketua Hakim Negara.
Selain menuntut siasatan polis, Ezam yang juga bekas pengasas Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak) mendesak agar Perdana Menteri ditahan serta-merta.
“Kita ambil tanggungjawab untuk buat laporan polis petang ini merujuk kepada sidang akhbar Datuk Seri Rafizi Rami merangkap ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Menteri Kabinet.
“Hal ini kerana apabila Rafizi buat kenyataan akhbar merujuk kepada soal pelantikan Ketua Hakim Negara yang tergendala, ini jadi masalah serius kerana beliau bekas Menteri yang baru saja letak jawatan, atas alasan itu kita percaya ia satu perkara yang amat serius dan kita percaya banyak klausa disebut beri gambaran jelas Anwar telah lakukan salah guna kuasa sebagai PM.
“Ini memberi satu gambaran jelas bahawa Perdana Menteri telah melakukan salah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dalam pelantikan Ketua Hakim sebab itu kita buat laporan polis ini untuk polis siasat, kedua menahan Perdana Menteri serta-merta,” katanya pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi pada Isnin.
Ezam menegaskan, laporan polis itu dibuat memandangkan ia membabitkan satu institusi besar, institusi penting negara bahkan jawatan penting iaitu Ketua Hakim Negara dan ia membabitkan Perdana Menteri.
“Kedua yang kita rasakan ada sense of emergency ialah apabila ada kes yang melibatkan Perdana Menteri dalam mahkamah yang masih belum dibicarakan. Jadi kita punya alasan, kita bukan nak tuduh ke apa tapi kita punya alasan untuk percaya ada kaitan penyalahgunaan kuasa PM ini dengan kes beliau.
“Ada saman sivil yang dilakukan oleh seorang bernama Yusoff Rawther terhadap beliau yang ditangguh beberapa kali, jadi ini menguatkan kepercayaan kita bahawa tindakan mesti dilakukan segera oleh pihak polis.
“Sidang akhbar Rafizi tak jurus kepada ini, dia nak buat RCI tapi dalam masa yang sama PM tak boleh masuk Pejabat Perdana Menteri (PMO) lagi ya. Sebab ini membabitkan kes Ketua Hakim Negara dan membabitkan kes beliau sendiri yang dibicarakan.
“Sebelum ini ada kes jenayah terhadap Yusoff Rawther dan kes itu dibawa ke mahkamah, hakim dan putuskan dia lepas, bebas tetapi dalam prosiding mahkamah tersebut dia membawa kepada beberapa perkara penting yang mengakibatkan kepercayaan umum bahawa kes itu ada tangan-tangan ghaib yang di peringkat atasan yang cuba melakukan sesuatu terhadap Yusoff Rawther, ini kepercayaan umum termasuk juga pimpinan pembangkang di Parlimen dan tidak pernah dijelaskan oleh PM dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen.
“Jadi ini memperkuatkan kita punya alasan untuk merasa cukup sangsi dan gusar dan bila ada tangan-tangan ghaib yang telah berlaku dalam kes yang sama,” dakwa Ezam.
Dalam pada itu beliau menegaskan, mereka ada alasan bertindak sekarang kerana Anwar pernah berdepan kes sama penyalahgunaan kuasa masa beliau jadi Timbalan Perdana Menteri pada 1998.
“Masa itu saya tahulah saya Setiausaha Politik beliau. Anwar didakwa di mahkamah dibicarakan kerana menyalahgunakan kuasa jawatan TPM untuk memeras, mengugut saksi-saksi dalam kes liwat beliau dan ketiga-tiga mahkamah telah sabitkan beliau bersalah, maknanya dia pernah ada kes salah guna kuasa.
“Jadi atas sebab-sebab ini kita punya cukup alasan untuk kita buat sidang akhbar ini dan mahu polis buka fail siasatan segera dan tangkap Anwar, ini tuntutan kita,” dakwa Ezam lagi.