KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim mengakui memahami tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli melepaskan jawatan Menteri Ekonomi sejurus tewas dalam pemilihan PKR mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti itu.
Shahidan menggambarkan sewaktu masih menganggotai barisan Kabinet Kerajaan Madani Rafizi dilihat tidak lantang bahkan lebih memilih diam.
“Baru faham kenapa RR (Rafizi Ramli) letak jawatan.
“Bila jadi Menteri, kebebasan bersuara tu automatik kena simpan dalam laci pejabat,” seloroh Ahli Parlimen Pas itu di Facebooknya pada Isnin.
Bekas Pengerusi Umno Perlis itu juga turut menyertakan foto beliau bersama Rafizi.
Akhir-akhir ini Rafizi tampil lebih lantang apabila mengumumkan beliau tidak lagi terikat dengan etika kerajaan dan kerahsiaan setelah melepaskan jawatan Kabinetnya, berkuat kuasa 17 Jun 2025.
Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan beliau kini bebas bersuara dan bersedia menjawab pelbagai tohmahan serta isu yang melibatkan dirinya menerusi platform podcast “YBM (Yang Berhenti Menteri)”.
Bukan cuma di audio siar, Rafizi kini juga lantang mengkritik di media sosial dan juga sidang media.