KUALA SELANGOR – UMNO diminta membawa usul pembebasan dan keadilan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam persidangan UMNO bahagian masing-masing.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, isu Najib harus diperjuangkan kerana ia sebahagian daripada janji yang telah dibuat bersama Kerajaan Perpaduan, namun sehingga kini masih belum tertunai
“Sampai hari ini, Bossku tidak mendapat keampunan penuh, walaupun telah diberikan (Titah Adendum), namun ditolak (mahkamah) termasuk tahanan di rumah juga tidak diberikan.
“Perkara ini harus dibincangkan daripada peringkat akar umbi supaya kita dapat terus bersama dalam isu kebebasan Najib,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini pada Ahad, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Ini supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Hakim, Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan Najib termasuk oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah dengar cakap.
Media melaporkan, dalam notis permohonannya, bekas perdana menteri itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.