Biochar Formulasi Hasilkan Sayuran Berkualiti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) melalui Institut Sains Biologi, Fakulti Sains menganjurkan Program Pemindahan Ilmu “Biochar Untuk Kelestarian Pertanian”.

Dengan memperkenalkan pendekatan pertanian secara organik menggunakan formulasi biochar dan bakteria baik mampu atasi penghasilan sayur berkualiti.

UM dalam kenyataan media pada Khamis memberitahu, perkongsian
 hasil penyelidikan adalah menjadi hasrat universiti untuk memastikan penyelidik di universiti sentiasa berkongsi maklumat bersama industri dan komuniti untuk memastikan inovasi ini diguna pakai oleh pihak komuniti.
 
Ketua Penyelidik, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains Universiti Malaya, Dr. Rosazlin Abdullah, berkata projek ini juga adalah hasil dari geran penyelidikan yang di salurkan oleh pihak universiti iaitu geran IIRG untuk memastikan hasil penyelidikan boleh dikongsikan oleh komuniti dan seterusnya dengan harapan dapat di komersialkan oleh pihak industri.
 
“Penyelidik Universiti Malaya telah memindahkan ilmu kepada pengusaha tanaman organik untuk menggunakan biochar dan diformulasikan dengan bakteria baik agar bakteria tersebut dapat membekalkan nutrien kepada tanaman. 

“Lokasi program tersebut dijalankan di Merryganic Farm, Cameron Highlands, Pahang
 
“Biochar merupakan teknologi pertanian terkini yang dihasilkan melalui pembakaran sisa-sisa pertanian secara tertutup (atau lebih dikenali sebagai proses pirolisis) yang mempunyai 5 fungsi dalam pertanian (5P) iaitu pelembap tanah, penyimpan nutrien, pemegang baja, penyerap elemen, dan perumah mikrob,” jelasnya.

Tambah beliau, Biochar boleh meningkatkan kesuburan tanah berasid, meningkatkan penghasilan tanaman dan mampu melindungi masalah penyakit tanah.

“Tanaman secara organik adalah tanaman yang tidak menggunakan baja kimia. Oleh itu, penggunaan bahan organik adalah bahan utama sebagai pembekal nutrien kepada tanaman,” katanya.

Dr. Rosazlin juga berkata inovasi bahan organik adalah penting dalam memastikan pengusaha pertanian organik mendapat hasil yang baik.

“Salah satu bahan organik yang sedang mendapat perhatian adalah biochar. Biochar mempunyai liang-liang porositi yang dapat menjadikan bahan perumah kepada mikrob.

“Oleh itu, penyelidik UM mengetengahkan inovasi ini kepada pengusaha tanaman organik supaya mendapat hasil sayuran yang tinggi,” ujarnya.

Inovasi biochar sebagai perumah mikrob untuk pertanian yang mapan diperkenalkan kepada komuniti petani organik di Cameron Highlands oleh Aaronn Avit Ajeng, yang merupakan pelajar doktor falsafah di bawah seliaan Dr. Rosazlin Abdullah.

Katanya, Aaron Avit Ajeng amat meminati bidang penyelidikan dan baru sahaja menerima anugerah Rising Star Scientist semasa Persidangan Antarabangsa di Langkawi baru-baru ini.

“Biochar merupakan satu bahan pepejal yang terhasil daripada proses pembakaran sisa pertanian, penternakan dan juga perhutanan yang mampu menambah baik kualiti dan kesuburan tanah.

“Ruang rongga dan pori biochar yang besar serta permukaannya yang luas amat sesuai digunakan untuk pembiakan mikrob. Inovasi ini berdasarkan pembiakan mikrob baik untuk tumbuhan dan tanah di dalam ruang rongga biochar sehingga pelekatan biofilem bakteria terjadi,” katanya.

Menurut beliau lagi, biofilem yang matang akan melepaskan bakteria-bakteria ini sejurus selepas aplikasi ke dalam tanah dan bertindak menyuburkan tanah sekali gus meningkatkan hasil pertanian.

“Inovasi ini sesuai diguna pakai di persekitaran yang mencabar (suhu ekstrem, tanah bermasalah dan sebagainya) oleh disebabkan sifat biofilem ini yang tahan lasak terhadap tekanan persekitaran,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha Ladang Merryganic Farm, Tan Teik Kiang, berkata, program yang dianjurkan oleh UM ini merupakan satu inisiatif yang bagus di mana inovasi-inovasi organik seperti yang telah dikongsikan dapat memberi manfaat kepada tumbuhan sekali gus meningkatkan hasil tanaman mereka.
 
Teik Kang juga bersetuju bahawa biochar adalah bahan organik DNA beliau mengamalkan menggunakan biochar sebagai bahan organik untuk tanaman beliau.

“Walau bagaimanapun , dengan adanya perkongsian ilmu seperti ini iaitu dengan memformulasikan bakteria baik ke dalam biochar sebelum aplikasi ke atas tanah adalah idea yang sangat baik kerana ia dapat menghasilkan tanaman yang lebih berkualiti,” katanya.

kredit gambar: Youtube

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat