Restart FELDA, kerajaan setuju lupus sebahagian pinjaman peneroka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan pihak FELDA untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal yang telah berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah ini dijayakan.

Kata Muhyiddin, untuk FELDA kembali bangun setanding dengan syarikat perladangan terkemuka dunia, kerajaan telah mengenal pasti salah satu isu yang mampu merencatkan visi tersebut, iaitu isu hutang yang membelenggu FELDA dan warga pewaris para peneroka semenjak sekian lama.

“Isu hutang ini harus diperbetulkan dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau ‘restart’ FELDA,” katanya dalam ucapan pada sambutan Hari Peneroka FELDA 2021, pada Rabu.

Muhyiddin turut menjelaskan pendekatan pelupusan bersyarat antaranya merangkumi: pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8.0 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka (iaitu meliputi 82 peratus dari keseluruhan 112,638 warga peneroka); pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM168 juta, melibatkan 52,180 peneroka (iaitu meliputi 46 peratus warga peneroka).

“Seterusnya pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7
Julai 2021, bernilai RM78 juta, melibatkan 38,043 peneroka (iaitu meliputi 34 peratus warga peneroka); dan pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM56 juta, yang akan dinikmati 6,711 orang peneroka (iaitu kira-kira 6 peratus warga peneroka,” ujar beliau.

Kata Muhyiddin lagi, dengan inisiatif ini, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

“Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka  berkurangan daripada sekitar RM800 – RM1000, kepada hanya RM250 – RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka.

“Saya berharap dengan usaha yang diambil oleh Kerajaan ini, ia akan menjadi titik tolak atau ‘reset button’ untuk warga peneroka di seluruh negara menjadi lebih bersemangat dan lebih fokus dalam melipatgandakan hasil serta pendapatan mereka. Ini sekaligus bakal mengupayakan pengurusan kewangan termasuk pinjaman mereka dengan lebih berhemat dan tidak lagi membebankan pada masa depan.

“Saya amat berharap dengan perjanjian baharu yang akan ditandatangani oleh peneroka dengan FELDA di bawah inisiatif pelarasan pinjaman bersyarat ini, warga peneroka akan lebih komited dalam memenuhi segala terma yang dipersetujui kelak agar dapat sama-sama memikul tanggungjawab meningkatkan produktiviti, seterusnya menjamin kelestarian FELDA,” jelas Muhyiddin.

Perdana Menteri menambah, untuk memperkasakan atau ‘revitalise’ FELDA sehingga kembali berdiri teguh, kerajaan juga telah meluluskan penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion bagi menambah baik model perniagaan FELDA.

“Sebahagian terbitan sukuk ini sedang digunakan untuk menstruktur semula pinjaman dengan institusi kewangan serta untuk mengambil alih FGV Holdings Berhad (FGV).

“Saya percaya dengan penstrukturan semula pinjaman-pinjaman tersebut, ia akan mengembalikan fokus FELDA terhadap usaha pemerkasaan perniagaan terasnya.

“Persetujuan  Kabinet terhadap cadangan Pasukan Khas sebelum ini, juga telah membolehkan FELDA meningkatkan pegangan saham dalam FGV sehingga 81.3 peratus.

“Saya difahamkan, perkembangan ini akan mewujudkan satu sinergi perladangan yang akan melonjakkan produktiviti seterusnya keuntungan Kumpulan FELDA.

“Di samping itu, peningkatan penglibatan FELDA dalam industri hiliran yang mempunyai nisbah keuntungan lebih tinggi pula akan membolehkan FELDA mencapai sasarannya untuk kembali mencatat keuntungan menjelang tahun 2023,” kata beliau.

Muhyiddin menambah, selari dengan agenda nasional ke arah Revolusi Industri 4.0, FELDA telah pun mula melaksanakan sistem pertanian pintar bagi menguruskan 458 ribu hektar ladang FELDA dan peneroka di seluruh negara dengan menggunakan konsep pertanian jitu atau precision agriculture.

Menurutnya, dengan kerjasama warga FELDA, sistem ini mampu menambah baik operasi perladangan menerusi pemantauan dan pengumpulan maklumat lebih terperinci, dan menjimatkan kos operasi sehingga lebih RM200 juta dalam masa 5 tahun.

Mengulas lanjut beliau amat teruja berkenaan Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dirangka khusus untuk menggalakkan warga FELDA menceburi bidang keusahawanan sebagai batu loncatan bagi reformasi atau penyusunan semula komuniti FELDA yang berdikari dan lestari.

“Saya yakin penjayaan program ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada kitaran harga komoditi serta dapat mempelbagaikan sumber pendapatan warga FELDA.

“InsyaAllah, pendekatan baru ini akan menjadikan FELDA sebagai satu contoh rangka tindakan untuk pembangunan luar bandar akan datang, sejajar dengan visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

“Jelas kini, terdapat peluang yang terbuka luas buat warga peneroka untuk turut sama dalam skala yang lebih besar, dalam usaha Kerajaan mengukuhkan jaringan jaminan makanan negara.

“Dengan memiliki bank tanah pertanian yang luas, adaptasi kemahiran dalam pertanian pintar serta inisiatif Program Pembangunan Peneroka yang diperkenalkan, saya percaya FELDA berada di posisi terbaik untuk menjadi peneraju utama sektor pengeluaran makanan negara dalam tempoh dekad ini,” ujarnya.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, setelah 65 tahun penubuhannya, beliau percaya warga FELDA kini sudah cukup matang.

“Setelah menerima pelbagai bantuan dan sokongan, kini anda semua tentunya sudah bersedia untuk menabur budi dengan menyumbang pula kepada masyarakat seluruhnya.

“Kita boleh berbangga apabila inisiatif “sedekah” yang digerakkan oleh warga peneroka di seluruh negara berjaya mengumpulkan sehingga RM10 juta setakat ini.

“Jumlah sedekah bukanlah yang menjadi ukuran, sebaliknya yang lebih penting adalah kesedaran dan kesediaan untuk mengorbankan sedikit harta dan pendapatan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Saya berharap lebih banyak inisiatif prihatin sebegini dapat dilaksanakan dan dijayakan, selari dengan tema Hari Peneroka pada tahun ini iaitu, “Anjakan Minda Peneroka”.

Tambah Muhyiddin, kerajaan akan sentiasa komited dalam mendokong usaha murni membantu membangunkan komuniti peneroka FELDA.

Namun katanya, segala inisiatif yang disusun harus sentiasa disambut dan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh sekalian warga FELDA dengan semangat dan keazaman yang jitu, agar usaha menaik taraf sosio-ekonomi peneroka dapat terus diperkasakan bagi menjamin masa depan generasi baru peneroka.

“Saya percaya kita sedang sama-sama menyaksikan permulaan baharu FELDA. Terima kasih kepada generasi terdahulu yang telah membantu meletakkan batu asas yang kukuh dalam usaha membangunkan FELDA.

“Dalam mendepani dekad-dekad yang mendatang, telah tiba masanya bagi generasi baharu FELDA pula untuk tampil menggalas cabaran dan tanggungjawab mengemudi bahtera perubahan FELDA,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat