Sufi Rashid Maafkan Kesilapan Haqiem Rusli

KUALA LUMPUR – Tidak mahu memanjangkan lagi rasa kecewanya terhadap penyanyi Haqiem Rusli, juara Akademi Fantasi 2015 (AF) Sufi Rashid hari ini berbesar hati menerima pemohonan maaf penyanyi itu.

Menerusi InstaStory miliknya, Sufi turut berkongsi mesej perbualan antara dia dan pelantun lagu Tergantung Sepi itu.

Perkembangan ini sekaligus menyelesaikan perbalahan mengenai dakwaan Sufi mengenai karyanya diplagiat Haqiem untuk lagu Selamat Tinggal Sayang.

“Maaf diterima. Aku pun minta maaf, bro. Aku harap kita semua belajar,” balas Sufi kepada Haqiem.

Sementara itu Sufi turut menjelaskan dia memahami keadaan Haqiem yang disahkan mengalami masalah depresi ditahap sederhana.

“Aku masih mesej kau, kan? Kalau aku benci kau ke apa, aku takkan balas mesej kau pun sebab aku tahu apa kau hadapi,” tulisnya lagi.

Dalam perkongsian kedua, Sufi turut menjelaskan kedudukan mengeluarkan kenyataan sebelum ini bukan bersifat dendam atau benci sebaliknya berkaitan kerja semata- mata.

“Ini tiada kaitan dengan membenci atau apa-apa berkaitan peribadi. Ini soal perniagaan. Buat kesalahan dan kita minta maaf, mudah.

“Apa yang mencabar sebagai artis kami dikelilingi oleh netizen. Terima kasih kepada yang ambil berat,” tulisnya panjang lebar. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.