Jenazah Bekas Panglima TLDM Selamat Dikebumikan

KUALA LUMPUR – Jenazah bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana (B) Tan Sri Ilyas Din selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Selayang di sini pada pukul 10 pagi ini.

Allahyarham Ilyas, 67, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Datuk Keramat pukul 10.10 malam tadi akibat serangan jantung dan komplikasi buah pinggang.

Jenazah beliau dimandi dan disembahyangkan di Masjid Khalid Al Walid pukul 7.00 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan itu dengan diiringi keluarga dan warga TLDM.

Ilyas meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Meryam Harun dan 3 anak iaitu Mohd Azrai, Nurartikah dan Nurameera.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin memberitahu Bernama, lebih 70 orang termasuk anggota keluarga dan pegawai TLDM menghadiri pengkebumian itu, yang dilakukan mengikut istiadat pengkebumian pegawai kanan TLDM.

Anak kedua beliau, Nurartikah, 35, berkata arwah bapanya adalah seorang yang sangat tegas namun penyayang.

“Arwah sentiasa memberi sokongan kepada ketiga-tiga anaknya dan sentiasa mengingatkan kami supaya sentiasa merendah diri, mengutamakan keluarga walaupun sibuk bekerja. Arwah bapa saya memang seorang yang mempunyai minat mendalam dalam ketenteraan sejak beliau remaja lagi,” katanya.

Ilyas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selama 9 hari selepas serangan jantung akibat komplikasi buah pinggang dan menerima rawatan dialisis sebelum dibawa pulang ke rumah dan menghembuskan nafas terakhir semalam.

Ilyas yang dilantik sebagai Panglima TLDM pada 28 April, 2005, memulakan kariernya dalam pasukan keselamatan itu selepas ditauliahkan sebagai pegawai TLDM pada 1 Jan, 1972 dengan menyandang pangkat Leftenan Muda dan bersara pada 2006.

Sepanjang kariernya, Ilyas, yang juga digelar “Bapa Kualiti TLDM”, pernah menjawat jawatan Panglima Armada, yang bawah pengurusannya Markas Armada TLDM merangkul beberapa anugerah kualiti.

Ilyas juga faktor pendorong kepada kejayaan Markas Armada memperoleh persijilan MS ISO 9001:2000 pada 2003. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.