Saifuddin Tak Rasa Keperitan Kami Di Zaman Mahathir 18 Tahun Dulu, Kata PKR

SHAH ALAM – “Datuk Saifuddin tidak pernah melalui betapa jerih dan peritnya kami 18 tahun dahulu,” ujar Ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul.

Beliau berkata demikian mengulas status berbaur ‘patah hati’ dibuat Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Datuk Saifuddin Abdullah menerusi laman Facebook, beberapa hari lalu.

Johari berkata, Saifuddin mungkin ‘janggal’ dengan situasi dalam pakatan pembangkang ekoran latar belakang politiknya yang sebelum ini merupakan ahli Umno.

“Semua orang ini yang telah pun melalui detik-detik yang amat membimbangkan pada 18 tahun yang dulu. Jadi mungkin Datuk Saifuddin dia dari Umno. Dia tidak pernah dapat merasai betapa jerihnya, peritnya kami 18 tahun yang dulu. Dan dia sedang belajar.

“Itu adalah asam garam politik. Bukan mudah untuk kita satukan semua kepala. Apatah lagi kita nak satukan dengan orang pernah kita tempur selama 18 tahun. Keadilan (PKR), DAP, Amanah sebelum ini PAS, bertempur dengan (Tun) Dr Mahathir selama 18 tahun. Ada yang ke penjara, lokap, cedera parah, macam-macamlah.

“Harus diingat, setiap orang ada sejarah masing-masing. Kita ada sejarah dengan Dr Mahathir, kita ada sejarah dengan Barisan Nasional (BN) dengan Umno. Jadi bila mereka menjadi serpihan kepada Umno iaitu tubuhkan parti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) maka adalah wajar untuk memberikan sedikit masa,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu walaubagaimanapun yakin situasi yang melanda Pakatan Harapan (PH) akan selesai jika diberi masa sewajarnya dalam usaha untuk menyatukan pemimpin dari pelbagai latar belakang dan ‘kepala’ dalam pakatan pembangkang itu.

Beberapa hari lalu, Saifuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Temerloh mengundang tanda tanya apabila memuat naik satu status berbaur ‘patah hati’ di laman Facebooknya.

“Letih melalui proses bertindih penuh dalih sehingga menyebabkan organisasi bertatih dan khalayak jerih lalu kemenangan seakan tak mampu diraih,” demikian tulisan Saifuddin dalam laman sosial itu.

Walaupun bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu menulis secara berkias, status tersebut seolah-olah memberi gambaran mengenai situasi ‘celaru’ yang melanda gabungan yang disertai oleh PKR, DAP, Amanah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

Johari bagaimanapun menafikan tanggapan sedemikian sambil menambah, pakatan itu masih dalam proses ‘mengenali’ sebelum bertempur pada pilihan raya akan datang.

“Tidak, ia bukan bercelaru. Kita datang daripada latar belakang yang belbagai. Macam kita nak kahwin, ada orang ini datang daripada keluarga begini. Isteri suami datang dari keluarga alim, si isteri datang dari keluarga disko, pelayar, nelayan. Jadi kita nak sesuaikan makan masa walaupun sudah kahwin suami isteri.

“Jadi bagi masa lah, bila mereka perang dengan mereka tiba-tiba nak jadi kawan. Dia kena ada masa. Tidak kenal maka tidak cinta. Kita kena bagi kenal, bercinta dahulu walaupun kita ambil masa sedikit. Lebih baik kita selesaikan. Tiada masalah, bukan benda yang payah pun,” jelasnya.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff dalam responnya terhadap kenyataan Saifuddin itu menyifatkan, ‘luahan’ pemimpin itu sememangnya berasas.

Kamarul turut memberikan contoh beberapa peristiwa yang berlaku dalam PH sebagai menyokong hujahnya, antaranya gabungan itu tidak mengotakan janji apabila pernah mengumumkan mahu melancarkan Dasar-Dasar Bersama PH.

Begitu juga dengan percanggahan pendapat antara pemimpin PH yang disuarakan secara terbuka sekalipun mereka telah menandatangani perjanjian yang memaktubkan “sebarang perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati atau bantahan dari satu parti terhadap parti lain perlu disuarakan mengikut saluran dalaman PH untuk diselesaikan secara bersama di dalam PH”.

Tambahnya juga, percanggahan turut berlaku dalam isu calon perdana menteri.

Untuk rekod, gabungan itu sehingga kini masih belum mencapai kata sepakat bersabit penentuan calon perdana menteri, selain belum memuktamadkan barisan kepimpinan utama mereka. – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.