Rizab Antarabangsa BNM Meningkat Kepada AS$98.9 Bilion

KUALA LUMPUR – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$98.9 bilion (RM424.8 bilion) sehingga pada 30 Jun 2017 berbanding AS$98.7 bilion (RM436.1 bilion) pada 15 Jun 2017.

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata, paras rizab dalam dolar AS terus meningkat.

“Namun, dalam ringgit, rizab menurun berikutan penambahan nilai ringgit pada suku kedua.

“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.9 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek,” katanya.

Bank pusat itu berkata rizab antarabangsa terdiri daripada rizab mata wang asing (AS$92.5 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$0.8 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$1.5 bilion) dan aset rizab lain (AS$3 bilion).

Aset termasuk emas dan pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM424.819 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM4.66 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM5.003 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.61 bilion), tanah dan bangunan (RM2.11 bilion) dan aset lain (RM6.81 bilion), katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.