Motosikal Bergesel Wanita Maut Ditempat Kejadian

WANITA maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lagi motosikal dalam kejadian di Jalan Bachang Utama 4, Melaka, hari ini.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, mangsa NorAmalina Shahrolzi, 22, yang menunggang motor jenis Modenas Kriss maut ditempat kejadian akibat parah di kepala manakala penunggang sebuah lagi motosikal tidak cedera.

Jurucakap polis berkata, semasa kejadian kedua-dua buah motosikal itu dalam perjalanan dari arah Melaka Sentral menghala ke persimpangan lampu isyarat Tun Fatimah.

“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa dan sebuah lagi motosikal jenis Yamaha LC ditunggang seorang lelaki juga berusia 22 tahun bergesel sesama sendiri setibanya di lokasi kejadian.

“Dipercayai akibat hilang kawalan daripada pergeseran itu, motosikal mangsa kemudian terbabas ke bahu jalan sebelah kiri mengakibatkannya terjatuh ke tebing parit,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian selain kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.