Membuat Video Solekan Di Facebook Live Haruslah Bersandarkan Pada Niat Dan Sebab – Imam Muda Faris

“WANITA hanya disarankan berhias untuk suami. Jika bersolek untuk memperlihatkan kecantikannya kepada umum, tidak digalakkan. Apatah lagi bersolek di laman sosial seperti Facebook Live.”

Demikian kata Imam Muda Faris mengenai ‘trend’ bersolek dalam video yang disiarkan secara langsung di Facebook Live dalam kalangan netizen terutamanya jurusolek profesional.

Bagaimanapun, menurut Imam Muda Faris, setiap apa yang dilakukan termasuk membuat video solekan di Facebook Live haruslah bersandarkan pada niat dan sebab yang munasabah.

“Jika seseorang bersolek di Facebook Live untuk berkongsi ilmu kepada wanita lain agar mereka juga boleh berhias untuk suami, tiada masalah. Tetapi ia tetap akan ditonton oleh orang ramai dan ada baiknya jika tutorial terbabit diusahakan melalui mekanisme yang lebih tertutup.

“Secara asasnya, setiap apa yang kita lakukan mesti ada tujuan dan sebab. Hukum bersolek di khalayak umum bergantung kepada niat masing-masing,” katanya.

Sementara itu, jurusolek Siti Nurfarahain Zakaria, 29, yang menggunakan nama School of Makeup – by Siti Nurfarahain di Facebook berkata, tujuannya melakukan video tutorial teknik solekan di Facebook Live kerana itu adalah sumber pendapatannya.

“Sebelum ini saya berkerja sebagai kerani sekolah dan mengambil upah sebagai jurusolek secara sambilan. Namun, pendapatan saya bertambah dan menjadikan bidang solekan sebagai mata pencarian utama saya sejak Facebook memperkenalkan fungsi ‘live’.

“Saya cuba melakukan video teknik solekan dan dari situ lebih ramai orang mengenali saya. Daripada memiliki studio kecil yang hanya boleh memuatkan 10 orang, kini studio saya boleh memuatkan 30 orang,” katanya yang turut menawarkan kelas solekan di Alor Setar, Kedah.

Tambah Siti Nurfarahain yang lebih dikenali dengan panggilan Farah, dia seronok dapat berkongsi ilmu dengan pengikutnya.

Jurusolek Aizat Abdul Razak yang pernah menata rias beberapa selebriti tempatan termasuk Fasha Sandha, Wawa Zainal, Emma Maembong, dan Anzalna Nasir, pula tidak kisah dikecam kerana tujuannya bersolek menerusi Facebook Live hanya untuk memberi inspirasi kepada wanita lain.

“Saya tak kisah dikecam kerana apa yang saya lakukan hanya untuk memberi inspirasi dan bimbingan kepada wanita mengenai teknik solekan. Lagipun ini hanya tutorial, jadi jangan ambil serius mengenai video terbabit,” katanya.

Menurut Aizat, dia sering menerima kritikan daripada pengikutnya yang menganggap tindakan Aizat menyolek dirinya sendiri dan bertudung sebagai tidak wajar kerana dia seorang lelaki.

“Saya akui apabila melibatkan isu agama, perkara ini tidak elok. Tapi saya hanya mahu berkongsi ilmu yang saya ada. Walaupun ramai yang kecam, ramai juga yang memberi sokongan,” katanya menambah pendapatannya bertambah sejak menggunakan Facebook Live.

“Peluang datang dalam pelbagai bentuk. Selain lebih ramai yang mahu menggunakan khidmat saya sebagai jurusolek mereka, saya juga menerima beberapa tawaran berlakon. Apa yang boleh saya katakan sejak ada Facebook Live, pendapatan saya lebih meluas,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.