Guan Eng Juga Kata Pakatan Rakyat Tak Lagi Wujud

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata bahawa gabungan Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud.

“Tidak ada lagi Pakatan Rakyat,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri sambutan rumah terbuka Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Lim membuat kenyataan itu sehari selepas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Selangor akan terus ditadbir oleh Pakatan Rakyat yang telah dibubarkan kerana ia berupa mandat daripada rakyat.

Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang diminta mengulas kenyataan Azmin. Lim, bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Pulau Pinang ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan dan kita adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan. Saya akan menjawab dengan memberi butiran kemudian,” kata beliau.

Pakatan Harapan ditubuhkan pada Sept 2015 oleh DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP pada Julai 2015 yang menyebabkan Pakatan Rakyat berkubur.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.