Golongan Muda Berkeluarga Di Setiu Digalak Pohon Tanah Kosong

Kerajaan negeri Terengganu menggalakkan golongan muda khususnya yang baru berkahwin dan belum mempunyai kediaman atau tanah untuk dibuat rumah di daerah Setiu memohon lot tanah kosong yang bakal diiklankan Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata mereka perlu mengambil peluang itu kerana kebanyakan tanah kosong terletak dalam daerah itu.

“Golongan yang baru berkahwin dan mereka yang memerlukan (diminta) segera memohon dan kita telah dapat arahan mengenai hal ini (iklan) akan bermula pada 1 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis sambutan Hari Raya anjurannya yang juga anggota Parlimen Setiu di kediamannya yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman semalam.

Pada 3 Julai lepas, Ahmad Razif mengumumkan kerajaan negeri menawarkan sebanyak 5,900 lot tanah yang masih kosong untuk dipohon khususnya oleh golongan muda yang sudah berkahwin tetapi belum memiliki tanah dan kediaman di negeri itu.

Kebanyakan tanah kosong itu katanya terletak dalam daerah Setiu.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.