Duterte Nak Kunyah Militan Hidup-Hidup

Selepas dua mayat mangsa penculikan Abu Sayyaf ditemui di Mindanao, Presiden Filipina Rodrigo Duterte, meminta garam dan cuka untuk melambangkan rasa geramnya kepada kumpulan militan terbabit.

“Beri saya garam dan cuka, saya akan makan mereka di depan kamu semua.

“Saya akan makan semua, saya tak memilih. Saya akan makan mereka walaupun tak boleh ditelan,” katanya kepada pegawai kerajaan di Manila hari ini.

Mayat tanpa kepala dua warga Vietnam itu ditemui di perairan selatan Filipina oleh tentera negara itu semalam. Mereka adalah sebahagian daripada enam kru kapal kargo yang dilarikan militan pada November tahun lalu.

Seorang daripada mereka diselamatkan bulan lalu.

Selatan Filipina memang menjadi kubu kumpulan militan termasuk Abu Sayyaf yang aktif menculik warga asing untuk mendapatkan wang tebusan.

Sambil memegang telefon genggam yang memaparkan gambar mangsa bunuh berkenaan, Duterte, 72, tidak mengalas sama sekali ucapannya mengecam dalang penculikan itu.

Ada 22 tebusan lagi

“Adakah kita akan membiarkan rakyat negara ini menjadi hamba? Anak haram!” katanya dilaporkan portal inquirer.net.

Tahun lalu Duterte – yang terkenal sebagai pemimpin yang keras dan tidak teragak-agak menyumpah seranah sesiapa saja – mengarahkan tentera Filipina menggempur kumpulan Abu Sayyaf.

Ancaman ganas Duterte itu bukanlah sesuatu yang baru. Dia pernah berjanji untuk memakan hidup-hidup militan Abu Sayyaf ekoran serangan pengganas di wilayah kelahirannya di Davao dan menyebabkan 15 orang maut.

Dia juga dikenali kerana pelbagai dasar kontroversi sejak dilantik ke jawatan presiden pada 30 Jun 2016. Antaranya ialah ‘lesen untuk membunuh’ yang diberikan kepada polis dalam kempen mereka memerangi aktiviti pengedaran dadah.

 

Duterte yang turut dikenali dengan nama Digong ialah presiden ke-16 Filipina.

Semalam Vietnam turut mengutuk pembunuhan itu dan menggesa langkah keras diambil sebagai tindak balas.

Difahamkan Abu Sayyaf masih menahan 22 tebusan pelbagai negara ketika ini, termasuk lapan warga Vietnam.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.