DAP Perlu Buat Pemilihan Semula Pilih Anggota CEC Yang Sah – JPPM

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) akan keluarkan arahan kepada pihak DAP supaya mengadakan pemilihan semula ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang baharu untuk memilih 20 orang anggota yang sah, berpandukan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

Ia juga agar membolehkan pemilihan ini diiktiraf oleh JPPM.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam satu kenyataan berkata hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

“Ini amat penting di sisi undang-undang memandangkan pelantikan bagi jawatan utama parti mempunyai peranan yang penting sebagai wakil parti yang mempunyai autoriti untuk menandatangani watikah pelantikan calon untuk mewakili parti dalam pilihanraya yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihanraya,” katanya.

Tegasnya, pihak JPPM menganggap bahawa Parti DAP sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang dan setakat ini pihak JPPM tidak berniat sama sekali untuk membatalkan Parti DAP.

“Bersabit dengan aduan-aduan yang dibuat oleh ahli-ahli DAP sendiri yang tidak berpuas hati dengan kepincangan terhadap proses-proses pemilihan semula CEC DAP yang dijalankan pada 29 September 2013, pihak JPPM berpendirian bahawa pelantikan anggota CEC serta pemegang jawatan utama melalui pemilihan semula ini, adalah tidak sah dari segi undang-undang.

“Pemilihan semula yang diadakan tersebut sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012 iaitu yang melibatkan seramai 2576 perwakilan dari 865 buah cawangan,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambahnya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan supaya apa juga tindakan yang diambil oleh pihak JPPM, hendaklah berlandaskan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan Parti DAP itu sendiri. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.