Banjir Besar Landa Jepun, 2 Maut 18 Hilang, 450,000 Dipindahkan

TOKYO – Hujan lebat luar biasa yang mengakibatkan banjir be­­sar dan tanah runtuh di selatan Jepun menyaksikan sekurang-kurangnya dua orang disahkan terkorban manakala 18 lagi dipercayai hilang.

Menurut Agensi/Reuters, kerajaan telah menghantar kira-kira 7,800 anggota pasukan pencari dan penyelamat termasuk polis, bomba dan anggota pertahanan diri (SDF) ketika hujan lebat mencetuskan amaran kecemasan di wilayah Fukuoka dan Oita yang dikenali sebagai kawasan pernah berlaku bencana teruk, lapor Utusan.

Banjir yang berlaku telah menyebabkan sekurang-kurangnya 450,000 penduduk yang di­arahkan berpindah ke lokasi yang lebih selamat, lapor Japan Times.

Difahamkan, antara wilayah yang paling teruk terjejas akibat bencana itu ialah sebahagian daripada bandar Fukouka yang terletak di bahagian barat daya kepulauan Kyushu.

Hujan lebat berterusan juga menyebabkan lebih 6,000 kediaman terpaksa bergelap akibat gangguan elektrik terutamanya di sekitar Fukouka, Kumamoto dan Oita.

Sehubungan itu, beberapa syarikat pengendali telefon bimbit utama Jepun termasuk NTT Docomo Inc., KDDI Corp. dan SoftBank Group Corp. mendakwa, hujan lebat turut menjejaskan perkhidmatan te­lekomunikasi mereka di beberapa kawasan termasuk utara Kyushu.

Di Asakura pula, 54 orang termasuk 18 pelajar dilaporkan terperangkap di sebuah sekolah rendah manakala kira-kira 1,700 kediaman pula terputus bekalan air bersih susulan bencana tersebut.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga memberitahu, pihak kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dan mengurangkan kerosakan akibat banjir besar itu.

Untuk itu katanya, kira-kira 5,000 lagi anggota SDF telah dia­rahkan supaya bersiap-siaga untuk membantu misi mencari dan menyelamat berkenaan.

Dalam pada itu, beberapa buah syarikat pengeluar kenderaan utama Jepun termasuk Daihatsu Motor dan Yamato Transport terpaksa menghentikan atau menangguhkan operasi mereka di kawasan yang terjejas.

Operasi Daihatsu di Nakatsu, Oita kini di­hentikan buat sementara waktu sehingga esok selepas penu­tu­pan kilang pe­ngeluaran enjin me­­­­reka di Kurume, Fu­kouka sejak semalam.

Syarikat-syarikat gergasi lain termasuk Honda Motor, Canon Inc. dan Renesas Electronics Corp. bagaimanapun tidak terjejas akibat bencana itu dan masih beroperasi seperti biasa setakat ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.