Awie Jelajah Pondok Tahfiz Naik Motosikal Besar

Aksi vokalis Wings, Awie dengan motosikal berkuasa tinggi memang tidak dapat dipisahkan sejak dari dahulu.

Lebih menarik, kali ini vokalis kumpulan Wings itu bakal mengadakan jelajah bersama motosikal kesayangannya ke pondok tahfiz di Kota Bharu, Kelantan.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, akan mengetuai program berkenaan sempena Minggu Motosikal Antarabangsa Kelantan yang bakal berlangsung selama dua hari bermula pada 7 Julai.

Penyanyi Bernafas Dalam Lumpur itu dijangka menunaikan solat Isyak berjemaah selain makan malam bersama pemimpin kerajaan negeri selain menyertai persembahan nyanyian dan kebudayaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Fattah Mahmod, jelajah ke pondok akan bermula 9 pagi Sabtu ini.

“Awie akan membuat persembahan bersama kumpulan nasyid dan dikit barat pada sebelah malam 8 Julai di Stadium Sultan Muhammad ke-IV,” katanya seperti dilapor Harakah Daily.

Kelantan International Bike Week yang dianjur oleh Urusetia Pembangunan Belia dan Sukan , Darulnaim Bikers dan Wings Motor Gang Society itu menganggarkan 10,000 kehadiran penonton.

Abdul Fatah berkata, pihaknya turut menjangkakan 3,000 lagi peserta dari luar Kelantan bakal menyerikan program berkenaan berbanding 1,500 pada tahun sebelumnya.

Majlis bakal disempurnakan oleh Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yaakob pada 7 Julai di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV.

Pelbagai acara menarik diadakan antaranya ekzos bingit superbike, stunt show dan pertandingan moto kapchai pelbagai kategori.

Sementara itu, Pengerusi Darulnaim Biker, Ausri Hussin berkata, orang ramai berpeluang menonton persembahan Awie di stadium bermula 9 malam.

Katanya, tiket sebanyak RM10 dikenakan kepada orang ramai untuk tabung persatuan. Tiket boleh dibeli pada malam tersebut.-MAlaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.