Annuar Menyesal Lepaskan Ghaddar Ke JDT

Penaja utama The Red Warriors (TRW), Tan Sri Annuar Musa menyesal melepaskan penyerang berbisanya Mohammad Ghaddar ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pintu perpindahan pemain Jun lalu.

Annuar turut mengakui beliau terpedaya dengan tawaran pihak tertentu yang mengatakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) boleh mendapatkan pemain baharu sekiranya melepaskan Ghaddar, lapor Kosmo.

Menurut beliau, bukan itu sahaja, malah KAFA juga akan memperoleh bayaran lumayan seterusnya boleh membawa masuk tonggak baharu bagi memperkemaskan pasukan TRW.

“Masa itu saya langsung tidak tahu, kita sudah tertakluk kepada sekatan untuk mendaftarkan pemain baharu. Jika kita tahu, KAFA tidak akan pindahkan dan pinjamkan pemain kepada pasukan lain.

“Rancangan asal KAFA adalah untuk menggantikan seorang pemain import yang tidak cergas dan berprestasi rendah. Notis penamatan kontrak sudah diputuskan pada April lalu,” katanya menerusi entri laman sosial Facebook miliknya semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengulas kenyataan Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor yang berang dengan sikap membisu Football Limited Liability Partnership (FMLLP) berhubung pendaftaran pemain, Imam L Seydi.

Kelmarin dilaporkan, KAFA menempelak sikap FMLLP berhubung isu pendaftaran Seydi pada pintu perpindahan pemain Jun lalu.

Seydi dibawa masuk bagi menggantikan Alessandro Celin yang beraksi di bawah keupayaan sebenar ketika ini selain bergelut dengan kecederaan.

Annuar memberitahu, apa yang menghairankan, pendaftaran pemain berkenaan sudah dibatalkan oleh badan yang menguruskan perjalanan Liga Malaysia (Liga M) itu.

Katanya, apabila KAFA mengemukakan permohonan untuk membawa masuk Seydi, FMLLP telah mendaftarkan semula Celin.

“Situasi itu menyebabkan KAFA terpaksa memikul beban apabila perlu membayar gaji Celin dan Seydi.

“Sudahlah begitu, Kelantan dipaksa pula menggunakan khidmat pemain yang mempunyai prestasi rendah. FMLLP perlu mempertimbangkan semula hal ini.

“Jangan menganiayai KAFA setelah penaja berhempas pulas menghidupkan Kelantan untuk terus bersaing pada Liga M,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.