Perkhidmatan Firefly Kurang Memuaskan – Afdlin Shauki

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah yang banyak memenangi anugerah filem, Afdlin Shauki mengkritik syarikat penerbangan Firefly kerana ketinggalan pesawatnya semalam.

 

Afdlin yang juga seorang pelakon, menulis di status Facebooknya bahawa dia kecewa dengan perkhidmatan syarikat penerbangan itu selepas dia terlepas satu penerbangan semalam kerana pesawat itu berlepas 10 minit lebih awal daripada masa yang dijadualkan.

 

“Hari ini saya mendapati bahawa Firefly bukanlah syarikat penerbangan yang terbaik.

 

“Saya tidak pernah tertinggal pesawat yang disebabkan waktu penerbangan lebih awal daripada yang sepatutnya.

 

“Kami telah memeriksa jadual penerbangan dengan teliti, tetapi penerbangan berlepas 10 minit lebih awal,” tulis Afdlin di akaun Facebooknya dengan memuat naik sekeping gambar bersama seorang lagi artis, Johan yang terkandas di Lapangan Terbang Senai, Johor Baharu.

 

Beberapa pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman yang sama ketika menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan itu yang juga merupakan anak syarikat Malaysia Airlines (MAS).

 

Farid Rezwan Saye mengulas: “Saya terlepas penerbangan Firefly di Pulau Pinang kerana pesawat berangkat awal, Firefly memberi penjelasan mereka telah memanggil nama saya sebanyak lima kali untuk panggilan terakhir. Lawaknya, saya berada di ruangan menunggu balai berlepas sepanjang masa. Sistem seperti ini tidak masuk akal dan menyusahkan.”

 

Seorang lagi pengguna Facebook, Rossi Ahmadi berkata: “Saya mengalami perkara yang sama, penerbangan saya awal 20 minit, saya check in dan tunggu di pintu pelepasan, kemudian seorang petugas datang kepada saya dan memberitahu bahawa pesawat telah berangkat dan saya terpaksa membayar denda untuk mengambil penerbangan seterusnya.”

 

Menjawab komen yang dibuat oleh Izzati Binti Zainal Abidin yang bertanyakan, sama ada Afdlin terpaksa membayar apa-apa caj tambahan kerana tertinggal pesawat. Afdlin menjawab, dia terpaksa membayar harga tiket dengan kadar tambahan beserta insurans penerbangan yang disifatkan sebagai “membazirkan wang”.

 

“Kena bayar kadar tambahan untuk penerbangan baru! Beli insurans pun membazirkan wang… Menurut petugas insurans itu adalah third party, Apa gunanya insurans Firefly itu?” Komen Afdlin di status Facebooknya.

 

Dalam status yang sama, beberapa pengguna internet memberi pendapat, kesilapan itu disebabkan Afdlin sendiri, salah seorang pengguna Facebook, Haziq Husim menjelaskan terdapat perbezaan di antara boarding time dan departure time dan penumpang perlu menaiki penerbangan lebih awal tanpa mengikut masa yang dicatatkan pada tiket.

 

Seorang lagi pengguna Facebook, Ahmad Faizys berkata: “Boarding time adalah di antara 30 minit sehingga satu jam sebelum berlepas. Kalau sudah check in tetapi tidak menaiki pesawat, ia adalah salah anda sendiri kerana terlepas flight brother.” – THeRakyatpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.