Pembangkang Guna Strategi Nazi, Sebar Cerita Bohong Berulang Kali

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Ruslan Kassim menegaskan bahawa pihak pembangkang sebenarnya menggunakan kaedah teori yang dipelopori oleh pakar propaganda nazi, Jozef Goebbels dalam usaha mereka untuk memburukkan pimpinan BN dan kerajaan sepertimana yang sedang berlaku hari ini.

 

Menurut Ruslan, teori tersebut ialah dengan mengulangi cerita bohong atau separa bohong berkali-kali kepada rakyat sehinggakan cerita bohong itu kemudiannya dianggap benar oleh rakyat.

 

“Kata Jozef Goebbels, menteri propaganda Nazi pada zaman Hitler : ‘Sebarkan kebohongan berulang-ulang kepada rakyat. Kebohongan yang diulang-ulang, akan membuat rakyat akhirnya menjadi percaya’. Inilah kaedah yang diguna pakai oleh pembangkang untuk memburukan imej UMNO dan kerajaan.

 

“Biarpun maklumat tersebut tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihannya, namun setelah diulang-ulang, maka akan ada juga rakyat yang akan percaya dengan perkara tersebut, biarpun hakikatnya maklumat itu tidak benar atau palsu semata-mata.

 

“Bagi pembangkang, apa juga maklumat, biarpun maklumat itu separa benar atau pun tidak ada kebenaran langsung, jika dilihat ada keuntungan politik bagi mereka di situ, maka mereka akan sebarkan. Samada ianya benar atau tidak, itu soal kedua. Yang penting bina dulu persepsi rakyat menggunakan maklumat itu,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

 

Tambah beliau lagi, pembangkang juga dengan licik memanipulasikan fakta-fakta yang kemudiannya disebarkan kepada umum dan ianya dilakukan hanyalah semata-mata untuk menimbulkan kekeliruan serta juga syak wasangka di kalangan rakyat berhubung tindak tanduk kerajaan.

 

“Mereka kini sedang membina satu persepsi dengan skala besar di mana apa saja yang tidak baik atau negatif akan dikaitkan dengan UMNO. Sebab itu kita lihat bagaimana ejen-ejen propaganda mereka khususnya di media sosial sentiasa cuba untuk menghubung kaitkan perkara-perkara negative dengan UMNO dan kerajaan.

 

“Dan apa saja perkara-perkara yang positif akan mereka dikaitkan dengan pihak pembangkang agar rakyat terpengaruh dengan permainan silap mata itu sehingga melihat perkara yang tidak baik sebagai kebaikan, manakala kebenaran itu sebagai satu penipuan,”ujarnya.

 

Sebab itu kata beliau, adalah amat penting bagi rakyat di negara ini agar tidak menelan bulat-bulat apa saja dakwaan pihak pembangkang dan wajib menyiasat terlebih dulu segala maklumat yang diperolehi.

 

“Sudah banyak kali terbukti bahawa maklumat yang disebarkan oleh pihak pembangkang ternyata tidak benar. Bahkan, ada juga kepimpinan pembangkang yang diseret ke mahkamah dan terbukti bersalah kerana memfitnah.

 

“Strategi propaganda Nazi yang diguna pakai oleh pihak pembangkang itu amat merbahaya kerana menjadi maklumat yang tidak sahih untuk membina persepsi rakyat. Akibat amalan propaganda seperti inilah kita dapat lihat hari ini begitu banyak fitnah yang bertaburan di media sosial.

 

“Fitnah tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh membawa mudarat yang besar sehingga boleh berlaku pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Sebab itu, Islam menganggap perbuatan fitnah itu dosanya lebih besar dari membunuh kerana ia boleh memberi kesan yang besar terhadap sesebuah masyarakat dan negara,” jelasnya.- MediaUMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.