Isu Balik Kampung: ‘Saya Maafkan Semua Orang’ – Syed Abdul Aziz

SHAH ALAM – Bukan hanya dijadikan bahan ‘jenaka’ di media sosial, namun Pengarah Eksekutif CCT, Creative Trainers (M) Sdn Bhd, Syed Abdul Aziz Al Qubra dicaci dan dimaki gara-gara kenyataannya berkenaan isu balik kampung yang disalah anggap dalam sebuah program, baru-baru ini.

 

Namun pemilik nama Syed Abdul Aziz ini tidak mudah melatah malah memaafkan semua pihak di atas salah faham yang berlaku itu.

 

“… cuma tengok komen saya terkejut… tapi saya maafkan semua sumpah seranah… itu tiada masalah, sebab orang tidak tahu… saya terbuka dan betul-betul terbuka.

 

“Cuma saya harap di bulan puasa ini kita sama-sama menjaga adab dan tertib, selain menahan lapar dan dahaga kita juga perlu mengawal nafsu amarah, serakah, nafsu prasangka dan nafsu sumpah seranah,” katanya kepada Sinar Online.

 

Bercerita lanjut, Syed Abdul Aziz berkata, beliau baharu sahaja pulang ke kampungnya di Kedah dan akan pulang lagi pada hari raya nanti.

 

“Sebagai seorang Islam wajib untuk kita menjaga hubungan silatulrahim, tambahan pula di hari raya, kerana pada ketika itulah tautan silaturahim kembali terjalin, terutama hubungan anak dan ibu-bapa.

 

“Hubungan kekeluargaan itu kan penting, saya rasa netizen tidak tengok video penuh itu saya rasa, mereka hanya melihat kenyataan yang dipotong separuh (daripada aspek ayat itu sahaja), yang kedua mereka kata saya menteri, orang kuat Umnolah… tiada kena mengena langsung.

 

“Saya bercakap di platform yang bebas iaitu daripada aspek pengurusan kewangan secara mikro bukan makro… makro itu secara besar di atas.. kerajaan punya tindakan, yang saya cakap itu adalah mikro pengurusan kewangan peribadi itu sahaja saya rasa,” katanya lagi mengulas pendapat beliau yang disalah tafsir dan menjadi viral baru-baru ini.

 

Terdahulu, video Syed Abdul Aziz yang dirakam menyarankan rakyat Malaysia supaya tidak pulang ke kampung untuk menjimatkan tol dan minyak menjadi tumpuan di media sosial.

 

Rakaman video yang dipetik menerusi sebuah rancangan bual bicara mendapat perhatian dan kritikan rata-rata pengguna laman sosial.

 

Mengulas lanjut, Syed Abdul Aziz berkata, beliau tidak mempertahankan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) secara semberono sepertimana yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu, sebaliknya hanya menyentuh mengenai fakta pelaksanaan dasar tersebut.

 

“Saya tidak ada mempertahankan GST semberono, dan juga tidak membangkangnya secara melulu, saya seorang perancang kewangan dan saya faham benda itu… cuma kesan GST rakyat bawah turut terasa tiada orang yang celik kewangan akan katakan GST tidak beri kesan,  saya sendiri pun terkesan… kerana sebagai ahli pernaigaan saya fahamlah,” katanya.

 

Namun katanya beliau terkejut dengan kenyataan netizen yang banyak melemparkan tuduhan melulu kepadanya sehingga memalukan dirinya.

 

Sinar Online sebelum ini mendapatkan penjelasan Syed Abdul Aziz berhubung kenyataannya menerusi program bual bicara itu.

 

“Mengikut statistik trend balik kampung sekarang, hampir 53 peratus wanita akan membeli barang kemas hanya kerana tidak mahu ditegur oleh ibu mertua atau saudara-mara kerana memakai barang kemas tahun lepas.

 

Maka dibelanjakan wang itu untuk membeli barang kemas. Sedangkan kita semua perlu beringat, keadaan sekarang sudah cukup mencabar buat semua pihak khusus golongan berekonomi sederhana dan rendah.

 

“… Sekarang minyak naik, kadar tol pun dikatakan akan meningkat, saya sarankan kita semua supaya beringat, ia mungkin menyusahkan bagi sesetengah individu, Jika balik kampung terasa terbeban dengan terdesak dan rasa dibebankan untuk tunjuk barang kemas baharu atau kereta baharu, saya sarankan lebih baik jangan balik kampung, tol dan minyak pun dapat dijimatkan. Itulah penjelasan sebenar saya,” ujarnya sebelum ini. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.